Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan bahawa Kementerian Ekonomi yang diwujudkan semasa pentadbiran Pakatan Harapan (PH) tidak akan dibubarkan.
Anwar akui tiada keperluan rombak Kementerian Ekonomi

Foto: Reuters
Menurut laporan Sinar Harian, beliau menegaskan Kementerian Ekonomi memainkan peranan penting dalam merangka pembangunan negara serta melaksanakan dasar ekonomi semasa sekali gus menyangkal dakwaan kementerian itu ingin dibubarkan.
“Kementerian Ekonomi diwujudkan semasa pentadbiran Pakatan Harapan (PH) terdahulu selepas Unit Perancang Ekonomi (EPU), yang sebelum ini beroperasi di bawah Jabatan Perdana Menteri, diperkukuh peranannya sebagai sebuah kementerian penuh.
“Tiada isu kementerian ini tidak berbakat kerana yang menentukan hala tuju ialah Kementerian Ekonomi dan saya sendiri.
“Saya fikir tidak ada keperluan untuk dirombak buat masa ini,” kata Anwar pada Persidangan Energy Asia 2025 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), pada Isnin.

Foto: Utusan Malaysia
Ahli Parlimen Tambun itu, turut mengenang jasa dan merakamkan penghargaan kepada Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli atas perkhidmatan cemerlang sejak memegang jawatan tersebut dalam Kerajaan Perpaduan.
“Saya ucapkan selamat kepada saudara Rafizi yang telah berkhidmat dengan begitu baik sebagai Menteri Ekonomi. Sebarang pengganti atau keputusan akan dibuat mengikut masa yang sesuai,” jelasnya.
Artikel lain: Anwar Ibrahim harap Rafizi, Nik Nazmi sertai semula kabinet
Terdahulu, Anwar digesa untuk memansuhkan Kementerian Ekonomi untuk diserap semula di dalam kementerian sedia ada dan tiada keperluan untuk melakukan rombakan Kabinet susulan peletakan jawatan Rafizi Ramli sebagai Menteri Ekonomi sekali gus dapat menjimatkan kos pengurusan kerajaan.
Untuk rekod, Rafizi meletakkan jawatan sebagai Menteri Ekonomi berkuat kuasa 17 Jun 2025 susulan kekalahannya dalam pemilihan Parti Keadilah Rakyat (PKR) dan akan menghabiskan baki cuti tahunan sehingga 16 Jun 2025.
Sumber: Sinar Harian (Izwan Rozlin)