yusmizal@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: “Kalau ikutkan saya hanya belajar setakat darjah tiga saja, kemudian berhenti. Tapi mungkin berkat ayah hantar untuk menghafal al-Quran, kemudian ke Syria, Mesir sehinggalah di mana saya berada hari ini.
“Ini semua berkat doa ibu, ayah dan guru-guru sehingga saya boleh berada pada tahap ini.
“Memang terkejut, hari ini saya profesor dan pakar dalam bidang Fiqh Fatwa Makanan dan Kepenggunaan Universiti Kebangsaan Malaysia.”
Demikian kata Dekan Fakulti Pengajian Islam UKM Prof Datuk Dr Mohd Izhar Ariff Mohd Kashim yang dinaikkan pangkat sebagai profesor berkuat kuasa 5 Mac lalu.
Dengan pengiktirafan itu katanya, dia kini mempunyai tanggungjawab yang besar dalam bidang pensijilan halal negara selain perlu mengingatkan masyarakat dan pemain industri produk makanan untuk memperolehnya demi kebaikan bersama.
“Kita ke arah menghasilkan negara yang mempunyai produk makanan halal dan bersih. Ia bukan sahaja dihormati oleh umat Islam dalam negara kita, tetapi dihormati bukan Islam selain negara seperti Jepun, Korea, United Kingdom, negara Arab,” katanya.
Mengimbau kisahnya dalam menuntut ilmu, katanya selepas berhenti sekolah setakat darjah tiga, dia dihantar untuk belajar al-Quran sebelum menyambung pengajian di Syria pada usia 13 tahun.
“Saya habis sekolah menengah, diploma, kemudian sambung ijazah di Universiti Al- Azhar Mesir sebelum sambung pengajian di peringkat Sarjana dan Ijazah Doktor Falsafah di UKM.
“Insya-Allah, dengan kenaikan pangkat sebagai profesor dalam bidang halal makanan ini, saya akan membantu negara, membantu Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Jabatan Agama Islam negeri (JAIN), untuk terus menghasilkan idea baru, membantu mufti mengeluarkan hukum baru yang mungkin tidak ada pada zaman nabi, tidak ada zaman sahabat dan tidak ada zaman empat mazhab.
“Saya akan cuba bantu dari sudut pengeluaran hukum fatwa berkaitan dengan DNA, khinzir, DNA binatang yang tak disembelih untuk mengenalpasti sumber haram yang terdapat dalam makanan menerusi sains dan teknologi.
“Ia perlu kepada gabungan pakar dan juga ulama di seluruh negara agar kita dapat menghasilkan satu produk yang halal, lagi bersih,” katanya.
Mohd Izhar turut merakamkan penghargaan kepada media khususnya Harian Metro yang banyak membantu menyiarkan pandangan berkaitan agama, isu semasa terutama membabitkan persoalan halal.
“Terima kasih kepada Harian Metro yang tidak jemu menyiarkan ulasan saya sejak 2009 lagi.
“Insya-Allah kita teruskan lagi demi manfaat bersama,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd



