'Biasa balik sebelum Zuhur, tapi hari ini saya jumpa suami sudah meninggal dunia dalam parit'

'Biasa balik sebelum Zuhur, tapi hari ini saya jumpa suami sudah meninggal dunia dalam parit'

am@hmetro.com.my

Baling: “Selalunya suami akan pulang ke rumah sebelum waktu Zuhur tetapi hari ini dia tidak pulang sehingga jam 2 petang dan saya cuba menghubunginya tetapi panggilannya tidak dijawab,” kata Zurina Hassan, 55.

Zurina adalah isteri kepada Mohd Sobri Md Noor, 56, yang ditemukan meninggal dunia dalam parit berair di Kampung Bukit Hijau, di sini hari ini.

Katanya, suaminya adalah Ahli Jemaah Pengarah Pertubuhan Peladang Kawasan Baling dan keluar rumah kira-kira 11 pagi untuk menanam sayur-sayuran di kebunnya yang berhampiran rumah.

“Disebabkan bimbang keselamatan suami, saya mengajak anak lelaki mencarinya di kebun sayurnya yang jaraknya hanya dua kilometer dari rumah, tetapi dia tiada di situ.

“Saya kemudian syak suami pergi kawasan parit berdekatan kebun sayur itu untuk membaiki saluran air paip yang disalurkan ke kebunnya sebelum ternampak motosikalnya berada di tebing parit itu.

“Kami memanggil namanya berulang kali tetapi tiada sahutan dan terus mencarinya sehinggalah ternampak suami dalam keadaan tertiarap di cerun parit itu yang tingginya kira-kiranya empat meter,” katanya di sini hari ini.

Zurina berkata, anaknya kemudian memanggil penduduk kampung untuk meminta bantuan dan menghubungi pihak polis serta pasukan bomba untuk membawanya naik.

Katanya, ketika itu banyak darah mengalir di kepalanya dan berkemungkinan dia tergelincir ketika menuruni cerun itu.

“Suami saya ketika itu sudah tidak sedarkan diri sehinggalah orang kampung datang dan memberitahu dia sudah meninggal dunia.

“Arwah tidak banyak perubahan yang berlaku pada dirinya sebelum ini namun saya reda dengan apa yang berlaku.

“Jenazahnya dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Bukit Hijau, malam ini juga selepas urusan bedah siasat selesai,” katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Baling, Zulkhairi Mat Tanjil berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu jam 3.18 petang.

“Anggota kami terpaksa mendaki kira-kira 200 meter untuk sampai di situ kerana tebingnya curam dan mangsa masih berada di dalam parit sedalam kira-kira empat meter.

“Mangsa berada dalam parit berair dalam keadaan tidak sedarkan diri dan disahkan meninggal dunia oleh petugas kesihatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya.

Zulkhairi berkata, mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top