norhayati_nordin@hmetro.com.my
MESKIPUN sudah setahun bercerai dan kini menyulam kebahagiaan tersendiri, namun Bella Astillah, 31, sangat berhati-hati dalam membicarakan perihal peribadinya terutama cinta baharu.
Apatah lagi, Bella kini dilihat begitu rapat dan sangat mesra dengan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Abdul Rahman, 33, menerusi rakaman video dan sesi ‘live’ mereka di media sosial.
Hinggakan pasangan popular antara selebriti dan ahli politik ini juga mendapat sokongan padu kumpulan peminat mereka yang digelar ‘BASS’ (Bella Astillah-Syed Saddiq) dengan ‘restu penuh’ ke jenjang pelamin.
Mengulas harapan murni BASS itu, Bella ditemui pada majlis pelancaran lagu baharunya, Lebih Indah Berpisah memaklumkan dia sebenarnya berasa segan untuk mengeluarkan sebarang kenyataan berkaitan hubungan itu.
“Apabila saya hendak ulas soal perhubungan ini, saya pun sebenarnya segan kerana saya seorang wanita. Bukan saja wanita, tetapi saya pun sudah ada dua anak. Jadi, bila nak cakap rasa kurang sopan dan kurang manis untuk diri sendiri.
“Apa yang saya boleh cakap, doa yang baik-baiklah. Walaupun saya tahu ia ‘klise’, tapi itu adalah yang terbaik. Saya sangat bersyukur sudah didoakan baik-baik dan menerimanya dengan hati yang terbuka.
“Begitu juga kalau hendak cakap soal perancangan masa akan datang, ada banyak perkara yang saya kena jaga seperti nama baik keluarga dan kerjaya kerana kami masing-masing pun ada keluarga,” jelasnya.
Menurut Bella atau nama sebenarnya Dayang Nabellah Awang Astillah, apa yang pasti ketika ini dia sangat fokus dalam bekerja mencari rezeki buat anak-anaknya kerana tawaran tidak putus diterima.
Katanya, setakat ini jadual kerja terlalu padat sehingga hujung minggu kerana rezeki yang mencurah-curah dikurniakan oleh Allah dalam nyanyian, lakonan, perniagaan dan persembahan pentas.
Sebelum ini, Bella dan Syed Saddiq mula menjadi perhatian ramai apabila mereka sering tampil bersama untuk promosi pakaian hari raya, termasuk mendaki Gunung Kinabalu, membantu golongan memerlukan dan banyak lagi.
Mereka juga didakwa netizen memiliki wajah seiras dan sangat serasi bersama, termasuk apa saja foto berdua serta video ‘live’ dimuatnaik di media sosial pasti tular serta ‘trending’ di For You Page (FYP).
Terdahulu, Bella pernah berkahwin dengan penyanyi dan pelakon asal Singapura, Aliff Aziz pada 2016 serta dikurniakan dua anak, Mohamed Ayden Adrean, 8, dan Ara Adreanna, 5.
Bagaimanapun, jodoh mereka tidak panjang apabila sah bercerai kali kedua pada 13 Jun tahun lalu selepas Aliff berhadapan kes ditangkap khalwat di sebuah kondominium mewah di ibu kota pada Mac 2024.
Sebak, terdiam ketika dalam studio
Kini, muncul dengan lagu Lebih Indah Berpisah berduet bersama komposer dan pemuzik terkenal Indonesia, Ade Govinda, disifatkan Bella sebagai pemangkin semangatnya untuk bangkit.
Mengakui sedikit-sebanyak lirik serta penceritaan lagu itu ada kaitan dengan kisah hidup masa lalunya, Bella sebak dan terdiam seketika sebelum proses rakaman lagu dilakukan di Jakarta.
“Sebaik dapat lagu ini daripada Ade, saya memang ada rasa sebak dan terdiam sekejap kerana terkenang semula kisah lalu yang berlaku. Tipulah, kalau saya cakap dah tak ingat langsung.
“Tapi, semua itu sudah berlalu dan saya pun ada kehidupan sendiri yang lebih indah perlu dijalani sekarang. Malah, bagi saya lagu Lebih Indah Berpisah ini bukanlah karya galau semata-mata, namun untuk bangkitkan semangat.
“Memang saya menyanyi dan menangis ketika mula nak rakamkan lagu ini. Tapi bila saya reda, barulah dapat betul-betul rakamkannya hampir tiga jam di studio sebab lirik lagu ini sangatlah mendalam.
“Saya pula seorang perempuan dan pasti mudah terasa. Ditambah, kita sebagai manusia, kadang-kadang ada rasa sedih dan gembira yang tidak mampu untuk dielak,” katanya.
Ditanya juga tindakannya menghasilkan dua lagu sedih iaitu Tapi Bukan Denganmu dan Lebih Indah Berpisah yang didakwa berhubung kait dengan kisah perceraian itu, Bella berkata, ia hanya kebetulan.
“Tempoh masa dua lagu ini muncul hanyalah kebetulan. Saya tidak menghasilkannya (lagu) untuk raikan perpisahan yang berlaku. Bagi saya, penting untuk kita wanita bangkit semula membina kehidupan.
“Saya sangat bersyukur ada ibu bapa dan keluarga yang sentiasa bersama di sisi membantu serta memberikan semangat baru dalam meneruskan kehidupan ini. Terima kasih juga buat mama saya,” jelasnya.
Sebelum ini, Ade juga pemain gitar Govinda ‘meledak’ dengan lagu Hal Hebat dan Masing Masing ciptaannya yang dinyanyikan bersama Ernie Zakri apabila karya itu mencetus fenomena di dua negara.
© New Straits Times Press (M) Bhd



