Kuala Lumpur: Dua lelaki maut ditembak sekumpulan suspek di hadapan lobi sebuah kompleks beli-belah di Jalan Loke Yew, Cheras, tengah malam tadi.
Ketika kejadian 12.15 tengah malam, kedua-dua mangsa dilaporkan menuju ke arah kereta yang diletakkan di perkarangan pusat beli-belah berkenaan.
Menurut saksi, sekumpulan lelaki yang memakai topi keledar secara tiba-tiba berlari ke arah kedua-dua mangsa.
“Suspek kemudian melepaskan beberapa das tembakan ke arah mangsa sehingga kedua-dua mereka terbaring berlumuran darah,” katanya kepada BH yang berada di lokasi kejadian.
Kumpulan lelaki terbabit yang dilaporkan bersenjata pistol kemudian melarikan diri menaiki Perodua Alza.
“Kedua-dua mangsa itu yang ditembak pada bahagian badan dan kepala disahkan mati di tempat kejadian,” katanya.
Sementara itu, tinjauan BH di lokasi mendapati mayat kedua-dua mangsa terbaring dalam jarak lima meter di hadapan kenderaan mereka.
Pada masa sama, sepasukan polis Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kontinjen Kuala Lumpur dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras dengan dibantu Unit Forensik Polis menjalankan siasatan di lokasi kejadian.
Berdasarkan maklumat diterima, kedua-dua mangsa berusia 40-an, dan berasal dari Sibu, Sarawak.
Polis Kontinjen Kuala Lumpur dilaporkan sedang mengumpul maklumat daripada saksi kejadian serta rakaman kamera litar tertutup (CCTV) bagi mengenal pasti identiti suspek.
Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan polis dijangka mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung kejadian ini dalam masa terdekat.
Jumaat lalu, seorang lelaki tempatan mati manakala dua lagi rakannya cedera selepas ditembak seorang daripada dua lelaki yang menaiki sebuah motosikal.
Ketika kejadian 10.20 malam itu, mangsa yang mati bersama beberapa rakan sedang minum di sebuah restoran di Jalan Tun Sambathan, Brickfields sebelum didatangi suspek bersenjatakan pistol.
Dua lagi mangsa parah dan cedera ringan.
Setakat ini, polis masih menjalankan siasatan lanjut bagi mengenalpasti suspek dan motif kejadian.
© New Straits Times Press (M) Bhd




