am@hmetro.com.my
Rompin: Selepas lebih 10 jam dirawat kerana parah di kepala akibat kereta dinaiki dirempuh lori di Kilometer (KM) 147 Jalan Kuantan-Seremban, di Simpang Melati, dekat sini, tengah hari semalam, tunang kepada pemandu kereta pula meninggal dunia.
Mangsa, Norafikaharanap Syafaruddin, 33, berasal dari Jalan Bukit Ubi, Kuantan, menghembus nafas terakhir kira-kira 10.30 malam tadi, ketika dirawat di Hospital Muadzam Shah.
Ketua Polis Daerah Rompin, Superintendan Sharif Shai Sharif Mandoi berkata, berdasarkan laporan awal, mangsa parah di kepala.
“Kemalangan itu menyebabkan mangsa mengalami kecederaan otak yang teruk dan berada dalam keadaan kritikal sebelum disahkan meninggal dunia malam tadi,” katanya menerusi kenyataan media.
Dalam kejadian 12.25 tengah hari, semalam, kereta dinaiki mangsa dan dipandu tunangnya, Muhamad Nasri Sulaiman, 32, dirempuh lori ketika membelok ke simpang kiri Jalan Kuantan – Seremban tanpa memberi laluan kepada kenderaan di laluan utama.
Akibatnya, kereta itu dilanggar lori dalam perjalanan dari arah Bahau, Negeri Sembilan ke Muadzam Shah.
Muhamad Nasri meninggal dunia di tempat kejadian, manakala pemandu lori berusia 53 tahun tidak cedera.
Bedah siasat ke atas mayat Norafikaharanap akan dilakukan pagi ini di Hospital Muadzam Shah, manakala proses sama terhadap mayat tunangnya selesai dilakukan petang semalam.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara cuai dan menyebabkan kemalangan maut.
© New Straits Times Press (M) Bhd



