Kuala Lumpur: Ketika seorang guru menggunakan ChatGPT untuk menjana soalan kuiz sains dan memuat naiknya ke Kahoot, murid-muridnya terpaku dan sangat teruja. Fenomena ini tidak terpencil kerana lebih 1.3 juta murid dan 401,619 guru sudah aktif di platform Digital Educational Learning Initiative Malaysia (DELIMa), dengan 5.3 juta ID didaftarkan setakat Julai 2024. Di peringkat global, seperti yang dilaporkan oleh The Business Research Company pasaran AI dalam pendidikan dijangka mencecah USD 7.57 bilion pada 2025, meningkat hampir 40 peratus setahun. Angka ini menunjukkan satu lonjakan besar namun adakah warga sekolah benar-benar bersedia bergerak seiring gelombang kecerdasan buatan (AI) yang semakin berkembang pesat?
Kecerdasan buatan (artificial intelligence, AI) ialah cabang sains komputer yang menumpukan pembangunan kepada sistem yang mampu melaksanakan tugas-tugas yang biasanya memerlukan kecerdasan manusia. Tugas-tugas ini termasuk belajar dari pengalaman, memahami bahasa semula jadi, mengenali corak, menyelesaikan masalah, dan membuat keputusan. Dalam konteks pendidikan yang kian berkembang pesat, AI berpotensi mewujudkan ekosistem pembelajaran yang lebih adaptif, responsif dan disesuaikan dengan keperluan murid dan guru. Teknologi ini menyediakan platfom pembelajaran yang lebih pintar, fleksibel serta membantu murid belajar mengikut rentak dan gaya masing-masing. Selain itu, AI mampu menjadikan tugasan rutin guru seperti penilaian dan pelaporan lebih efisien dan tumpuan interaksi pedagogi yang lebih efektif.
Perkembangan AI dalam bidang pendidikan mempunyai potensi yang besar untuk merubah landskap persekitaran pembelajaran. Penggunaan AI dapat membanyakkan bahan pembelajaran, membantu memudahkan tugasan guru serta merapatkan jurang antara sekolah dan rumah. AI dapat membantu mencapai tujuan pendidikan yang lebih inklusif dan elektif. Selari dengan Matlamat Pembangunan Lestari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (SDG) 4 iaitu untuk memastikan pendidikan berkualiti inklusif dan saksama serta menggalakkan peluang pembelajaran sepanjang hayat. Selain itu, AI dapat menjadi alat yang berharga dalam membentuk masa depan pendidikan di Malaysia.
Dapatan daripada laporan yang dikeluarkan di pautan DigitalDefynd lebih 70 peratus rakyat Malaysia pernah mengambil bahagian dalam pembelajaran atas talian dan ini menggambarkan kecenderungan negara untuk pendidikan digital. AI menyediakan platform untuk pengalaman pembelajaran yang lebih interaktif dan menyeronokkan melalui teknologi realiti maya (virtual reality) dan realiti augementasi (augmentation reality). AI bukan pengganti guru sebaliknya pemudah cara dan alat untuk meningkatkan keupayaan mereka. Guru perlu kreatif dalam mewujudkan persekitaran pembelajaran yang menarik. Guru wajar mengekalkan autonomi dalam memilih pendekatan pedagogi yang sesuai dan terbaik untuk anak murid mereka, manakala AI memberikan mereka data dan pandangan untuk memaklumkan keputusan tersebut. Sebagai contoh, AI mencadangkan sumber atau kaedah pembelajaran untuk murid, namun akhirnya guru sendiri memutuskan kaedah terbaik yang sesuai dengan keupayaan murid mereka.
Dalam era digital yang pesat berkembang, AI dilihat berupaya meningkatkan pemahaman, prestasi dan pengalaman pembelajaran murid. Antara inovasi yang berasaskan AI yang kian menonjol ialah chatbot dan tutor maya yang berpotensi tinggi untuk merevolusikan proses pengajaran dan pembelajaran. Chatbot merupakan perisian yang menggunakan kaedah kecerdasan buatan yang berinteraksi secara pendengaran atau teks. Perisian ini dapat membantu murid dengan memberikan sokongan akademik tambahan di mana ia menyediakan akses 24 jam di luar waktu persekolahan. Tambahan pula, chatbot boleh menyokong pengguna dengan perkhidmatan yang lebih pantas dan lebih personal dalam e-pembelajaran. Selain itu, platform kuiz dalam talian seperti Kahoot, Quizizz, leaderboard meningkatkan lagi keterlibatan murid. Walau bagaimanapun, chatbot dan kuiz dalam talian berpotensi memberi kesan negatif kepada murid dan guru jika berlaku kebergantungan terhadapnya tanpa mengetahui asas dalam pembelajaran dan pengajaran.
AI menawarkan peluang luar biasa daripada kuiz yang disesuaikan secara automatik hingga analitik yang menyorot kelemahan kelas. Namun, tanpa persiapan menyeluruh, jurang digital, kebimbangan etika dan kebergantungan teknologi boleh merencatkan impaknya. Persoalan “bersediakah kita?” menuntut jawapan kolaboratif, kerajaan memperkukuh dasar, industri menyediakan teknologi bertanggungjawab, guru meningkatkan kemahiran, dan murid mengekalkan rasa ingin tahu. Jika semua pihak bergerak seiring, AI bukan sekadar alat baharu, tetapi pemangkin transformasi pendidikan Malaysia ke era lebih inklusif dan cemerlang. Pembelajaran sepanjang hayat wajar menjadi tunjang kepada pengalaman pendidikan manakala murid dan guru hendaklah sentiasa menyesuaikan diri dengan kepantasan teknologi baharu serta cabaran etika yang dibawa oleh AI.
Penulis
Maizatul Akmar Binti Md Nordin
Dr. Mohd Mokhzani Bin Ibrahim
Fakulti Sains dan Matematik
Universiti Pendidikan Sultan Idris



