Rompak wang RM1.1 juta, 4 lelaki termasuk dua polis dipenjara 12 tahun dan 5 sebatan

Rompak wang RM1.1 juta, 4 lelaki termasuk dua polis dipenjara 12 tahun dan 5 sebatan

ajohari@bh.com.my

Kuala Lumpur: Empat lelaki termasuk dua anggota polis yang didapati bersalah merompak wang tunai RM1.1 juta milik ahli perniagaan dengan bersenjatakan pistol, hari ini dipenjara 12 tahun dan lima sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.

Keempat-empat tertuduh didapati bersalah oleh Hakim Mahkamah Sesyen Hamidah Mohamed Deril, merompak mangsa yang berusia 26 tahun di tempat letak kereta di sebuah bangunan di Jalan Chan Sow Lin pada 1.30 petang, 14 Disember 2021.

Hamidah menjatuhkan hukuman itu ke atas dua koperal polis, iaitu Hasrol Irmey Abu Hasim, 36, dan Muhammad Helmi Jamaluddin, 34, dan dua individu, Amir Moktar, 47, serta Mohd Ridhwan Azman, 39, selepas mendapati pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.

Hukuman berkenaan diperintahkan bermula hari ini, bagaimanapun peguam bela, Nur Azimul Azami Mohamad Nor yang mewakili kesemua tertuduh memohon hukuman ditangguhkan kerana pihaknya akan merayu keputusan itu.

Hakim kemudian memerintahkan peguam memfailkan permohonan rasmi kepada mahkamah.

Perbicaraan kes itu bermula pada Julai 2023 dengan seramai 35 saksi pendakwaan memberi keterangan, manakala empat tertuduh memberi keterangan secara bersumpah pada prosiding bela diri.

Kesemua tertuduh dengan niat bersama didakwa melakukan rompakan berkumpulan wang tunai itu mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan dan di baca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Ikhwan Mohd Nasir, manakala Nur Azimul dan Lim Yoi Ping mewakili keempat-empat tertuduh.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top