Berlin: Pemain nombor satu dunia, Aryna Sabalenka tampil memohon maaf susulan kenyataan emosinya selepas tewas di final Terbuka Perancis kepada Coco Gauff awal bulan ini.
Aryna, 27, sebelum ini dikritik selepas menganggap perlawanan akhir itu sebagai ‘final paling teruk pernah saya main’.
Dalam aksi di Roland Garros itu, Coco bangkit daripada ketinggalan satu set untuk mencipta kejutan dan merangkul gelaran Grand Slam sulungnya di tanah liat.
“Saya rasa dia (Coco) bukan menang sebab bermain hebat sangat, tapi sebab saya buat terlalu banyak kesilapan.”
Namun menerusi wawancara bersama Eurosport yang disiarkan, bintang Belarus itu mengakui dia terbawa-bawa dengan emosi dan menyifatkan kenyataannya ketika itu sebagai tidak profesional.
“Saya biarkan emosi menguasai diri. Saya benar-benar kesal dengan apa yang saya katakan ketika itu,” katanya menjelang saingan kejohanan WTA di Berlin minggu ini.
Aryna turun sebagai pilihan utama di ibu negara Jerman dan berkemungkinan sekali lagi berdepan Coco, yang juga pilihan kedua kejohanan, jika kedua-duanya mara ke final.
© New Straits Times Press (M) Bhd




