Lima anggota baharu Jawatankuasa Pertikaian Sukan dilantik

Lima anggota baharu Jawatankuasa Pertikaian Sukan dilantik

Oleh Saiful Affendy Sapran

saifulaffendy@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh hari ini mengumumkan pelantikan anggota baharu Jawatankuasa Pertikaian Sukan (JKPS) bagi tempoh dua tahun bermula 1 Mei 2025 hingga 30 April 2027 dalam usaha memperkukuh pengurusan isu pertikaian dalam badan sukan negara.

Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dalan satu kenyataan berkata, JKPS yang berperanan sebagai badan pemutus dalam isu-isu dalaman persatuan sukan, akan diketuai oleh tokoh berpengalaman dalam bidang undang-undang dan pentadbiran sukan, Datuk Low Beng Choo.

Pelantikan ini dilihat sebagai langkah tepat dalam memastikan sebarang pertikaian yang timbul dalam kalangan badan sukan dapat diselesaikan secara adil dan profesional.

Tiga anggota baharu JKPS yang dilantik adalah Datuk M Rajasekaran iaitu seorang peguam berpengalaman yang juga pernah terbabit secara aktif dalam pentadbiran badan sukan; Kimbeley Yap-Chelliah iaitu bekas atlet berbasikal dan triatlon kebangsaan serta bekas atlet equestrian negara, Mohd Qabil Ambak Tan Sri Mahamad Fathil.

JKPS berfungsi untuk mendengar dan memberikan pandangan terhadap isu-isu berkaitan pertikaian dalaman badan sukan, menyelesaikan aduan yang dirujuk oleh mana-mana pihak berkaitan, serta mengesyorkan langkah-langkah penyelesaian terbaik menyelesaikan pertikaian dalam badan sukan.

JKPS turut mengesyorkan suatu keputusan yang muktamad selepas mendengar aduan-aduan pertikaian yang dibentangkan sepanjang sesi pendengaran berlangsung; dan mengeluarkan suatu keputusan secara bertulis kepada kedua-dua pihak yang bertikai.

Diharapkan dengan kepakaran yang dimiliki oleh anggota-anggota yang dilantik, jawatankuasa ini dapat menangani kes-kes pertikaian dalam badan sukan dengan lebih berkesan sambil memastikan hak dan kepentingan semua pihak dalam komuniti sukan dilindungi.

Kerajaan juga merakamkan penghargaan kepada tiga orang anggota jawatankuasa yang sudah tamat tempoh perkhidmatan pada 30 April 2025 iaitu Datuk Amarjit Singh Gill, Datuk Prof Dr S Shamala dan Sharon Wee.

Mereka sudah menjalankan tugas dengan penuh dedikasi dan memberi komitmen sepenuhnya sepanjang tempoh perkhidmatan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top