Jenazah Sheqal selamat dikebumikan di Raub

Jenazah Sheqal selamat dikebumikan di Raub

am@hmetro.com.my

Raub: Jenazah penyanyi terkenal era 1990-an, Allahyarham Sheqal atau nama sebenarnya, Shahrin Salehuddin, 59, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kemuning, Kampung Tanjung Putus, Dong, di sini, kira-kira 7.05 malam ini.

Jenazah Allahyarham tiba dari Hospital Tuanku Jaafar (HTJ), Seremban dan disolatkan di Masjid Kariah Lechar oleh kira-kira 200 jemaah sebelum dibawa ke tanah perkuburan berdekatan.

Allahyarham menghembuskan nafas terakhir jam 12.31 tengah hari di HTJ, selepas dimasukkan ke hospital sejak 4 Jun lalu dan ditidurkan pada 6 Jun akibat komplikasi kesihatan.

Anak sulungnya, Muhammad Fathullah Shaharim, 21, ketika ditemui berkata, bapanya sering menasihatinya supaya tidak meninggalkan solat dan sentiasa menjaga keluarga.

“Sebagai anak sulung daripada dua beradik, ayah minta saya terus bertanggungjawab terhadap keluarga.

“Saya juga menangguhkan pengajian dalam bidang multimedia untuk menjaga ayah ketika beliau sakit.

“Insya-Allah, saya akan memohon semula untuk sambung belajar selepas ini,” katanya.

Sementara, penyanyi dan rakan seperjuangan, Aming Spring berkata, pemergian arwah satu kehilangan besar.

“Allahyarham seorang yang berperibadi mulia, tidak pernah menyinggung hati sesiapa.

“Kami amat menghargai kenangan bersama beliau di pentas hiburan,” katanya.

Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi & Multimedia, Belia, Sukan dan NGO Negeri Pahang, Fadzli Mohamad Kamal pula berkata, kehilangan Sheqal sebagai satu kehilangan besar buat dunia seni dan negeri Pahang.

“Allahyarham bukan sahaja dikenali dengan dendangan lagu yang menyentuh jiwa, tetapi pencinta bahasa dan penulis buku berunsur keagamaan.

“Nyanyiannya mempunyai bait-bait lirik yang penuh makna dan jarang dibawa oleh penyanyi lain,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top