Kuala Lumpur: Edisi kelapan kejohanan ragbi antarabangsa Johor tujuh sebelah (7s) 2025 dijangka berlangsung lebih meriah apabila membabitkan penyertaan 36 pasukan dari lima negara termasuk Malaysia, Singapura, Indonesia, Thailand dan Brunei.
Kejohanan anjuran Kesatuan Ragbi Negeri Johor itu dijadualkan berlangsung dari 27 hingga 29 Jun ini di Stadium Ragbi Johor, Johor Bahru, sekali gus menjadi antara kejohanan 7s paling berprestij di selatan tanah air.
Presiden Kesatuan Ragbi Johor, Datuk Mohd Noorazam Osman berkata, penganjuran tahun ini menjadi yang terbesar setakat ini sejak kejohanan diperkenalkan, dengan kehadiran pasukan antarabangsa dan beberapa pemain kebangsaan.
“Ia secara tidak langsung meletakkan sukan ragbi sebagai antara sukan utama di negeri Johor dan usaha merakyatkan sukan ini di peringkat akar umbi kini menunjukkan perkembangan yang sangat positif,” katanya.
Menurut beliau, Johor 7s 2025 turut dijadikan medan pemanas badan menjelang Siri Asia 7s serta Sukan SEA Bangkok 2025 yang dijadual berlangsung Disember nanti.
Kejohanan kali ini juga akan menyaksikan penyertaan pasukan-pasukan Sukan Malaysia (SUKMA) dari Johor, Melaka, Terengganu, Pahang dan Sarawak yang berpeluang mempamerkan bakat muda tempatan serta memperkukuh pembangunan pelapis ragbi negara.
Acara itu turut mendapat sokongan Majlis Sukan Negeri Johor, Majlis Bandaraya Johor Bahru dan Perbadanan Stadium Johor, selain tajaan daripada Exsim Development Sdn Bhd, Brightmark, AST, Rugger District dan Faiz Sports.
Orang ramai dijemput hadir bagi menyaksikan kehangatan aksi ragbi bertaraf antarabangsa yang dijangka menarik ribuan peminat sukan tempatan dan luar negara.
© New Straits Times Press (M) Bhd
