Anak muda perlu celik maklumat, kuat rohani

Anak muda perlu celik maklumat, kuat rohani

Era pasca normal menandakan satu peralihan besar dalam cara dunia berfungsi dari struktur sosial kepada ekonomi, dari pendidikan kepada nilai budaya.

Dunia hari ini menjadi semakin kompleks, tidak menentu dan sukar diramal. Perubahan pantas akibat revolusi digital, pandemik global, krisis iklim serta konflik antarabangsa telah mencorakkan landskap kehidupan baharu.

Dalam menghadapi era ini, belia Islam berdepan cabaran unik yang bukan sekadar bersifat duniawi, tetapi juga membabitkan aspek spiritual dan identiti keislaman.

Maka menjadi tanggungjawab umat untuk memahami cabaran ini secara menyeluruh dan mencari pendekatan Islami dalam menghadapinya.

Dalam dunia yang terbuka dengan pelbagai budaya dan gaya hidup global, belia Islam kini berhadapan dengan krisis jati diri.

Mereka terdedah kepada budaya liberal, sekular dan hedonistik yang bercanggah dengan prinsip Islam.

Allah SWT mengingatkan umat Islam supaya tidak terikut-ikut dengan cara hidup yang menyeleweng.

Firman Allah SWT dalam al-Quran: Maksudnya :”Dan bahawa sesungguhnya inilah jalan-Ku yang lurus, maka ikutilah ia dan janganlah kamu mengikuti jalan-jalan (yang lain) kerana jalan-jalan itu mencerai-beraikan kamu daripada jalan-Nya. Yang demikian itu diperintahkan Allah kepada kamu agar kamu bertakwa.” (Surah al-An’am, 6:153)

Pemerkasaan identiti Muslim dalam kalangan belia perlu digerakkan melalui pendidikan Islam yang syumul serta persekitaran sosial yang menyokong nilai dan akhlak Islam.

Ledakan maklumat dalam dunia digital sudah membuka ruang kepada pelbagai ideologi yang bercanggah dengan akidah Islam seperti liberalisme, feminisme ekstrem dan ateisme.

Belia Islam yang kurang asas ilmu mudah terpengaruh dengan pemikiran yang kelihatan logik, tetapi menyesatkan.

Akibat kedangkalan ilmu dikalangan generasi muda serta kecanggihan agenda kesesatan yang menjadi faktor terjerumusnya mereka dengan keburukan.

Rasulullah SAW bersabda: Maksudnya: “Akan datang kepada manusia suatu masa, di mana orang yang sabar dalam agamanya seperti menggenggam bara api.” (Hadis Riwayat Tirmizi)

Dalam dunia pasca normal ini, keteguhan aqidah dan kefahaman Islam yang sahih amat diperlukan.

Usrah, halaqah ilmu dan bimbingan murabbi berperanan besar dalam melahirkan belia yang tahan uji terhadap cabaran pemikiran luar.

Belia kini menghabiskan sebahagian besar masa dalam dunia digital. Media sosial menjadi sumber hiburan, maklumat dan interaksi sosial.

Namun ruang ini juga membuka laluan kepada maksiat, ketagihan dan penyebaran fitnah. Allah SWT memberi peringatan: Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengikuti langkah-langkah syaitan. Barang siapa yang mengikuti langkah-langkah syaitan, maka sesungguhnya ia menyuruh melakukan perbuatan keji dan mungkar.” (Surah an-Nur, 24:21)

Dalam era digital, belia Islam perlu membangunkan akhlak digital (digital ethics) menapis maklumat, menjaga adab komunikasi dan mengelakkan diri daripada maksiat tersembunyi. Setiap klik, tonton dan perkongsian akan dipersoalkan di akhirat nanti. Ini jelas sebagaimana diperingatkan oleh Allah dalam firmannya: Maksudnya:”Barang siapa yang mengerjakan kebaikan seberat zarah, nescaya dia akan melihat (balasannya). Dan barang siapa yang mengerjakan kejahatan seberat zarah, nescaya dia akan melihat (balasannya).” (Surah az-Zalzalah, 99:7–8)

Ekonomi pasca normal menyaksikan ketidakstabilan pasaran pekerjaan dan tekanan hidup yang semakin tinggi.

Belia Islam terpaksa bersaing dalam pasaran yang keras dan dalam proses itu, ada yang tergelincir daripada prinsip halal haram.

Islam mengangkat martabat usaha dan kerja yang halal: Maksudnya: “Dan katakanlah: Bekerjalah kamu, maka Allah dan Rasul-Nya serta orang-orang mukmin akan melihat pekerjaanmu…” (Surah at-Taubah, 9:105)

Rasulullah SAW juga menekankan kepentingan mencari rezeki yang halal: Maksudnya: “Sesungguhnya Allah itu baik dan tidak menerima kecuali yang baik.” (Hadis Riwayat Muslim)

Justeru, belia perlu dipersiapkan dengan kemahiran dan kefahaman ekonomi Islam agar dapat berdikari secara halal, berintegriti dan produktif dalam sistem yang semakin mencabar.

Era pasca normal bukan sahaja mencabar dari segi fizikal dan intelektual, tetapi juga dari segi rohani.

Ramai belia menghadapi tekanan mental akibat kehilangan arah hidup, kekosongan jiwa dan hilang rasa bergantung kepada Allah.

Islam menyediakan penawar utama kepada keresahan jiwa: Maksudnya: “Ketahuilah bahawa dengan mengingati Allah, hati menjadi tenang.” (Surah ar-Ra’d, 13:28)

Solat, zikir, membaca al-Quran dan bersahabat dengan orang soleh adalah penyambung wayar hati kepada Allah.

Rasulullah SAW bersabda, maksudnya: “Tidaklah suatu kaum berkumpul di rumah Allah, membaca kitab-Nya dan saling mempelajarinya, melainkan turun kepada mereka ketenangan, diliputi rahmat, dikelilingi oleh para malaikat dan Allah menyebut mereka di hadapan-Nya.” (Hadis Riwayat Muslim)

Oleh itu, program pembinaan rohani seperti tarbiah, qiyamulail dan aktiviti kerohanian perlu dihidupkan semula supaya belia Islam tidak terputus dari sumber kekuatan spiritual.

Untuk membantu belia Islam menghadapi cabaran pasca normal, beberapa strategi perlu digerakkan. Antaranya adalah menyediakan pendidikan Islam yang relevan dan semasa.

Ini penting dengan menyampaikan ilmu Islam secara menyeluruh dan kontemporari melalui pendekatan hikmah, kritis dan interaktif.

Begitu juga generasi muda memanfaatkan teknologi untuk dakwah dengan menggunakan media sosial, podcast, video pendek dan seni sebagai medium dakwah kreatif.

Penggunaan ini penting bagi penyebaran dengan benar tanpa menggunakan untuk menyebarkan keburukan dan fitnah.

Selain itu juga memperkasaan kepimpinan belia Islam dengan melahirkan pemimpin belia yang mempunyai ilmu, takwa dan integriti untuk memimpin masyarakat ke arah kebaikan.

Semua ini adalah antara usaha dan pendekatan membentuk generasi belia yang sentiasa berwaspada dalam tempoh zaman yang mencabar ini serta melaksanakan aktiviti selaras dengan tuntutan ibadah kepada Allah SWT. Ia selaras dengan tuntutan al-Quran dalam surah az-Zariyat: Maksudnya: “Dan tidak Aku ciptakan jin dan manusia melainkan untuk beribadah kepada-Ku.” (Surah az-Zariyat, 51:56)

Kesimpulannya, era pasca normal membawa cabaran yang sangat besar kepada belia Islam, tetapi juga membuka ruang untuk pembaharuan ummah.

Dalam suasana dunia yang serba mencabar, belia Islam mesti kembali kepada asas iman, ilmu dan amal.

Dengan kekuatan rohani, kefahaman Islam yang sahih dan semangat juang yang tinggi, mereka boleh menjadi pemimpin perubahan, penyambung risalah Rasulullah SAW dan pembina tamadun yang berteraskan tauhid dan keadilan.

Ini misi besar belia Islam dalam menghadapi dunia pasca normal menjadi hamba Allah yang kuat dalam iman, bijak dalam tindakan dan istiqamah dalam perjuangan.

Penulis Pensyarah Kanan, Universiti Selangor (UNISEL) Timbalan Presiden Wadah

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top