GIFT Lonjak Potensi Pendidikan Sains Malaysia

Kuala Lumpur, 17 Mei – Program Global Immersion For Future-Ready Teachers (GIFT), yang membawa guru Malaysia ke sekolah antarabangsa di United Kingdom (UK) secara percuma, berpotensi memberi impak besar kepada sistem pendidikan sains negara, terutamanya dalam usaha merangsang minat pelajar terhadap jurusan sains tulen.

Melalui pendedahan kepada pedagogi antarabangsa, guru Malaysia berpeluang mempelajari pendekatan pengajaran sains yang lebih kreatif, berasaskan inkuiri dan berpaksikan pelajar. Di UK, penekanan terhadap pembelajaran berasaskan projek, eksperimen terbuka, serta penggunaan teknologi secara efektif boleh dijadikan model untuk memperbaharui kaedah pengajaran sains dalam bilik darjah tempatan.

Menurut Encik Muhamad Furkan Mat Salleh, pensyarah kanan Fakulti Pendidikan  yang juga Koordinator Program Pendidikan Sains di UiTM, pendedahan global seperti yang ditawarkan melalui Program Global Immersion For Future-Ready Teachers (GIFT) mampu mencetuskan perubahan dalam minda guru serta meningkatkan kualiti penyampaian ilmu. Beliau menegaskan bahawa kerjasama serantau amat penting dalam memperkasakan pendidikan STEM agar selari dengan usaha melahirkan tenaga pengajar masa depan yang berdaya saing.

Guru-guru yang menyertai program ini akan kembali dengan perspektif baharu, lebih bersedia untuk mentransformasi pengajaran sains di bilik darjah dengan menyesuaikan amalan terbaik dari UK kepada konteks tempatan, sekali gus menjadikan pembelajaran lebih relevan dan berimpak tinggi

Selain itu, GIFT berpotensi meningkatkan kredibiliti profesion keguruan serta memberi insprirasi kepada pelajar. Apabila guru menunjukkan semangat pembelajaran berterusan dan berkongsi pengalaman antarabangsa, ia secara tidak langsung menyemai minat dan aspirasi pelajar terhadap sains tulen sebagai bidang masa depan yang menarik dan bernilai tinggi.

Kini, Malaysia masih bergelut dengan kadar penglibatan rendah dalam jurusan sains, program seperti GIFT adalah pelaburan strategik dalam pembangunan kapasiti guru sebagai agen perubahan. Impaknya bukan sahaja terhadap pelajar, malah boleh memperkukuhkan dasar STEM negara secara menyeluruh.

Jika dilaksanakan secara konsisten dan diikuti dengan sokongan sistemik, GIFT boleh menjadi pemangkin kepada revolusi kecil dalam pendidikan sains Malaysia dan sekaligus dapat menjadikan sains yang bukan sekadar subjek, tetapi satu budaya pembelajaran masa depan.

Oleh,
NURUL NASUHA MUHAMAD NOR
Penulis merupakan Mahasiswa Sarjan Pendidikan Fizik, FSM, Universiti Pendidikan Sultan Idris.
MOHD MOKHZANI IBRAHIM
Pensyarah Fakulti Sains dan Matematik, Universiti Pendidikan Sultan Idris.

Scroll to Top