am@hmetro.com.my
Putrajaya: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu isu penularan dadah dan penggunaan rokok elektronik dalam kalangan generasi muda dibincangkan secara serius serta dirangka jalan penyelesaian yang tuntas.
Beliau menegaskan, masalah yang berlarutan sejak sekian lama itu belum menemui penyelesaian berkesan, meskipun pelbagai pendekatan digerakkan sebelum ini.
“Kita lihat orang Melayu ini (masalah) dadahnya berat, tadi mesyuarat Jemaah Menteri kita bincang masalah dadah dan vape dalam kalangan anak anak kita, tolonglah bincang, carilah jalan kaedah mana pun.
“Apakah perlu dana? Apakah perlu kaunseling? Perlu dakwah? Beritahulah kerana berpuluh tahun kita fikir (masalah ini) belum selesai.
“Betul ada anak Cina, anak India ramai juga dalam kalangan mereka, tetapi lebih parah dalam kalangan anak Melayu, membunuh jiwa mereka dari kecil. Kenalah lakukan sesuatu, kena bincang,” katanya ketika berucap pada Seminar Kenegaraan Malaysia MADANI: Guru Pemangkin Patriotisme Negara di sini, hari ini.
Turut hadir, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.
Dalam pada itu, Anwar mengakui masih banyak masalah yang belum dapat diselesaikannya, namun pelbagai usaha sedang dilaksanakan untuk menanganinya.
“Saya tahu saya belum dapat selesaikan masalah kemiskinan rakyat, belum lagi dapat naikkan mutu pendidikan, saya belum lagi berhasil untuk mengangkat martabat bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu yang Cemerlang, saya belum dapat mengembangkan dakwah Islam dan kesedaran Islam dalam kalangan pelajar.
“Sebab itu di sekolah selain daripada pengenalan buku mengenai cara dakwah yang bijaksana, jangan terlalu keras, jangan terlalu hukum, jangan terlalu cepat menghina orang, jangan terlalu cepat mengkafirkan orang, itu yang kita mulakan,” katanya.
Terdahulu, Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil ketika sidang media pasca mesyuarat Kabinet memaklumkan, platform dalam talian yang membenarkan penjualan produk terlarang termasuk dadah dicampur dalam cecair vape akan dikenakan tindakan tegas.
Beliau berkata, tindakan sama juga akan diambil ke atas individu yang berbuat demikian.
Katanya, satu mesyuarat bersama Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali akan diadakan dalam masa terdekat untuk membincangkan penguatkuasaan itu.
© New Straits Times Press (M) Bhd




