Justin sasar kelompok 32 terbaik dunia menjelang hujung tahun

Justin sasar kelompok 32 terbaik dunia menjelang hujung tahun

saifulaffendy@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Pemain perseorangan lelaki negara, Justin Hoh meletakkan sasaran untuk menduduki kelompok 32 pemain terbaik dunia menjelang hujung tahun ini bagi membolehkannya beraksi di kejohanan lebih besar.

Justin yang ketika ini menduduki ranking ke-42 dunia berkata, sasaran itu boleh dicapai sekiranya dia dapat meraih keputusan memberangsangkan di setiap kejohanan bakal disertainya pada enam bulan terakhir tahun ini.

“Memang sasaran utama saya tahun ini adalah untuk naik di ranking 32 terbaik dunia.

“Ini kerana, saya mahu bermain di kejohanan yang lebih besar,” katanya.

Justin mengakui tempoh enam bulan pertama tahun ini tidak seperti diharapkan selepas dia melalui prestasi naik dan turun, sekali gus tidak membantu untuk memperbaiki kedudukan rankingnya.

“Banyak perkara yang perlu saya pelajari. Saya harap untuk tempoh enam bulan terakhir ini situasi lebih baik,” katanya.

Bagaimanapun, Justin memperoleh pengalaman berharga sepanjang tempoh enam bulan pertama ini, termasuk peluang beraksi di pusingan pertama kejohanan berstatus Super 500 di Masters Malaysia, bulan lalu.

Ketika itu dia bertemu dengan pemain nombor lapan dunia dari Jepun, Kodai Naraoka, namun tewas 14-21, 20-22 pada perlawanan yang berlangsung selama 56 minit itu.

“Memang agak sukar apabila bertemu dengan pemain utama, lagipun setiap pemain mempunyai gaya permainan berbeza.

“Sejujurnya saya memang tak dapat nak menyaingi mereka kerana kekuatan dan kepantasan mereka sangat berbeza.

“Jadi, apa yang saya boleh buat ialah dapat memperbaiki prestasi dan cuba menyaingi mereka selepas ini,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top