Mbappe teroka dunia pelayaran, kongsi pelaburan dengan Ares Management

Mbappe teroka dunia pelayaran, kongsi pelaburan dengan Ares Management

London: Gergasi pelaburan Wall Street, Ares Management, kini bergandingan dengan bintang Real Madrid, Kylian Mbappe, selepas memperoleh pegangan minoriti dalam pasukan kapal layar Perancis, France SailGP Team, satu kerjasama unik yang menyatukan seteru bola sepak dalam satu pelaburan sukan.

Firma pengurusan aset bernilai AS$546 bilion (RM2.58 trilion) itu, yang sebelum ini melabur dalam kelab Sepanyol, Atletico Madrid, kini berkongsi meja pemilikan dengan Mbappe menerusi syarikatnya, Coalition Capital, sekali gus mewujudkan pakatan pelaburan antara dua ikon bola sepak Madrid.

“Kami teruja menyertai liga ini dan bergandingan bersama kumpulan pemilik sedia ada France SailGP Team pada waktu penting ini,” kata Jim Miller, Ketua Bersama strategi Sukan, Media dan Hiburan Ares, yang turut memegang kepentingan dalam Inter Miami dan McLaren Racing.

Pelaburan strategik itu hadir seiring pengumuman pengembangan liga SailGP yang bakal menambah dua lagi pasukan kebangsaan pada musim 2026, menjadikan keseluruhan 14 pasukan beraksi dalam perlumbaan katamaran berkelajuan tinggi sehingga hampir 100 kilometer per jam (km/j).

“Pelaburan daripada organisasi berprofil tinggi seperti Ares mengukuhkan lagi model liga global kami,” ujar Pengarah Urusan SailGP, Andrew Thompson.

France SailGP Team, antara enam pasukan asal sejak penubuhan liga pada 2019 oleh pengasas Oracle, Larry Ellison, dan legenda pelayaran, Russell Coutts, kini diterajui pemandu utama Quentin Delapierre yang membawa masuk kru terbaik sejak musim kedua.

Dikenali dengan permulaan perlumbaan yang mantap serta aksi cemerlang dalam keadaan ekstrem, pasukan Perancis memegang rekod kelajuan tertinggi SailGP iaitu 99.94 km/j yang dicatat di Saint-Tropez pada Musim 4.

Ketika ini, pasukan Perancis berada di kedudukan keenam selepas menaiki podium di New York, manakala Sepanyol, diketuai juara Olimpik Diego Botin, mendahului carta dengan 46 mata.

Aksi seterusnya dijadual berlangsung di Grand Prix British Sail di Portsmouth pada 19-20 Julai.

Dalam perkembangan lain, dua lagi pasukan baharu akan dipilih menjelang musim 2026, dengan firma perkhidmatan profesional Deloitte dilantik menguruskan proses pemilihan.

Tarikh tutup bidaan awal ditetapkan pertengahan Ogos, manakala keputusan akhir dijangka awal September.

SailGP kini berkembang pesat dari model pemilikan terpusat kepada francais, menarik perhatian pelabur selebriti dan institusi, termasuk Hugh Jackman dan Ryan Reynolds yang memiliki pasukan Australia, serta konsortium pemimpin industri sukan yang mengambil alih penyertaan Itali.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top