am@hmetro.com.my
Kota Bharu: Penurunan kes penyalahgunaan dan penagih dadah di Kelantan sebanyak 5.4 peratus pada tahun ini adalah bukti keberkesanan penutupan ‘lubang tikus’ di kawasan sempadan negara.
Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah, berkata statistik menunjukkan jumlah sepanjang Januari sehingga Mac tahun ini, adalah seramai 11,280 orang berbanding 11,928 orang bagi tahun sebelumnya dalam tempoh masa yang sama.
Menurutnya, kadar penyalahgunaan dadah dan bahan terlarang berdasarkan 100,000 penduduk di Kelantan adalah mencatat sebanyak 597 orang penagih berbanding 632 bagi tempoh sama tahun sebelumnya.
“Kategori dadah yang menjadi pilihan utama penagih di Kelantan dadah jenis ATS dengan majoriti 89.3 peratus atau 10,071 orang bagi tempoh sehingga Mac 2025.
“Melalui data yang ada, menunjukkan perkembangan positif bagi tempoh suku pertama tahun ini, namun kita tidak boleh berasa selesa kerana masih terlalu awal untuk menganggap situasi penagihan dadah dan bahan terlarang berada dalam keadaan terkawal sepenuhnya.
“Sehubungan itu, tindakan penguatkuasaan dan pencegahan akan terus diperhebat bagi memastikan isu ini dapat dibendung secara menyeluruh dan berkesan,” katanya dalam sidang media selepas Program Lawatan Kerja Timbalan Menteri Dalam Negeri ke Negeri Kelantan di Dewan Bunga Emas, Hotel Perdana, di sini, malam tadi.
Hadir sama, Pengarah Bahagian Pencegahan AADK, Zainuddin Abdullah dan Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarat Negeri Kelantan, Zamakshari Muhammad.
Tambahnya, kejayaan itu juga adalah hasil daripada kawalan ketat di sempadan Malaysia-Thailand sepanjang Sungai Golok selain membabitkan penutupan pangkalan haram yang dilaksanakan sejak Disember lalu selain usaha keras pihak berkuasa yang menjaga sempadan negara.
Dalam perkembangan sama, Shamsul Anuar berkata, penurunan kes dadah di Kelantan juga adalah hasil usaha pencegahan yang bersasar dan meluas oleh Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK).
Beliau turut berkongsi statistik terbaharu sehingga Mac 2025 menyaksikan, seramai 108,409 penagih dan penyalahgunaan dadah atau bahan dikesan di seluruh negara, yang mana data itu menunjukkan penurunan sebanyak 10.5 peratus berbanding 121,170 kes bagi tempoh yang sama pada tahun 2024.
© New Straits Times Press (M) Bhd




