am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: “Saya tahu apa yang berlaku tapi tidak mahu campur tangan perkara (kes mahkamah) itu,” kata pelakon, Josiah Hogan, 39, ketika ditanya kontroversi membabitkan penerbit filem Misteri Mimpi Fraser 1910 dan pengarahnya, Shuhaimi Zulkefli.
Josiah yang membawa watak utama dalam filem itu berkata, dia memang ada berhubung dengan Shuhaimi baru-baru ini untuk berbincang sesuatu perkara.
“Saya juga tidak berapa faham isunya bersama penerbit itu tapi dapat tahu ia agak serius.
Selepas saya tonton filem Misteri Mimpi Fraser 1910 dengan bajet sebegitu dan tempoh masa diberikan, saya mahu beri kredit kepada pengarah yang sudah habiskan penggambaran filem ini.
“Siapa yang boleh buat filem dalam masa terlalu singkat dengan bajet sedia ada? Dengan bayaran yang saya terima, saya tahu bajet filem ini juga tak banyak dan saya okay saja.
“Saya juga perasan, tiada siapa yang sebut nama pengarah pada malam gala ini atau hargai segala usahanya hasilkan filem ini,” katanya.
Selain Josiah, Misteri Fraser 1910 yang akan ditayangkan bermula 26 Jun ini turut menampilkan lakonan Siti Hariesa, Isyariana, Erry Putra, Datuk Rahim Razali dan A Galak.
Josiah berkata, secara jujurnya dia berpuas hati dengan hasil karya berkenaan.
“Antara sebab saya terima untuk terbabit dalam filem ini kerana pengarahnya. Saya sudah lama mahu bekerjasama dengan Shuhaimi kerana dia memang ada dalam senarai rakan di Facebook. Ini adalah filem pertama arahannya dan saya harap dapat membantunya,” katanya.
Terdahulu, penerbit filem ini, Millionaire Films Production Sdn Bhd menuntut Shuhaimi membuat permohonan maaf berikutan kenyataan berunsur fitnah yang didakwa dibuat di akaun media sosial miliknya.
© New Straits Times Press (M) Bhd