am@hmetro.com.my
Johor Bahru: “Arwah seorang isteri yang sangat baik, walaupun dia sibuk dengan kerjaya sebagai penyanyi ketika dulu, tanggungjawab sebagai isteri dan ibu tidak pernah dilupakan,” kata Ungku Sulaiman Ungku Aziz, 60.
Ungku Sulaiman ialah suami kepada penyanyi dangdut popular era 1980-an, Zaleha Hamid yang menghembuskan nafas terakhir di Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini akibat jangkitan kuman di paru-paru, malam tadi.
Katanya semua urusan rumah tangga dilakukan Zaleha termasuk memasak, menguruskan pakaian mereka sekeluarga.
“Itu yang saya sayang dia (Zaleha) walaupun dia sibuk dengan kerjaya seni tetapi tanggungjawab kepada keluarga dan saya tidak pernah terlepas. Arwah siapkan semua pakaian, makanan dan minuman kami tanpa menggunakan khidmat orang gaji.
“Kami tidak pernah bergaduh, kalau selisih faham kami berdua duduk bincang dan tidak perhah bergaduh sampai menjerit.
“Sampai jiran pun pernah tanya dengan arwah, kak Leha (panggilan arwah) tak pernah gaduh ke? Rumah tangga biasalah ada selisih faham, apabila berlaku saya akan beri masa kepada arwah untuk berfikir. Kenangan itu menjadikan saya kerinduan,” katanya ketika ditemui di perkarangan Masjid Al Asma’ul Husna di Bandar Uda Utama di sini, hari ini.
Menurut Ungku Sulaiman, arwah Zaleha atau nama penuhnya Siti Zaleha Abdul Hamid, masih mengingati banyak perkara termasuk lagu lama yang sering diputarkan olehnya.
“Kadang saya buka lagu, saya tanya dia nak nyanyi tak? Dia malu, katanya dah tua.
“Tetapi apabila dengar lagu, dia ikut juga perlahan-lahan. Lagu dan memori dia kuat, lagu kawan-kawan lama pun dia masih ingat jika saya putarkan,” katanya.
Bercerita lanjut, Ungku Sulaiman memaklumkan mereka sekeluarga reda dengan pemergian Allahyarham.
Katanya bersyukur pemergian isterinya disifatkan sangat mudah dan tenang.
“Arwah mula menunjukkan tanda-tanda lemah sejak tiga hari sebelum Aidiladha, bermula dengan mengadu sakit tekak.
“Dia mula makan lima sudu, esoknya tiga sudu. Hari raya kedua, dia langsung tak boleh makan dan minum. Saya terus bawa dia ke klinik, tapi tutup sebab raya (Aidiladha) jadi kami pergi ke kecemasan hospital.
“Doktor kemudiannya memaklumkan paru-paru arwah dijangkiti kuman dan keadaannya kritikal sebelum kembali stabil dua hari sebelum menghembuskan nafas terakhir.
“Tapi petang tu (Khamis) sekitar jam 6 petang, dia tiba-tiba sesak nafas waktu nak diberi susu. Masa itu hampir jam 7 malam, saya lihat bacaan mesin bantuan pernafasan menurun sehingga 20.
“Saya bisikkan kalimah syahadah. Mata dia bergerak, kali ketiga saya sebut, terus mesin bacaan denyutan jantung jadi lurus. Doktor sahkan dia dah tiada.
“Tapi saya bersyukur, Allah tarik dia dalam keadaan paling tenang, tanpa rasa sakit, tanpa kekejangan,” katanya sedih (menangis).
Allahyarham meninggalkan suami dan tiga orang anak iaitu Zalisham Samsudin, 48; Ungku Chik Zafierul Azman, 37 dan Ungku Nor Muhammad Danial, 28 termasuk enam cucu.
Jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kassim Noor, Kampung Sungai Danga, di sini, selepas solat Jumaat.
© New Straits Times Press (M) Bhd




