mhafis@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: Rang Undang-Undang Perolehan Kerajaan (RUU PK) yang dirancang untuk dibentangkan di Parlimen pada tahun ini bakal memberi kuasa (empowerment) secara perundangan bagi tindakan punitif diambil ke atas mana-mana pihak yang didapati melakukan kesalahan berkaitan perolehan kerajaan sebagaimana diperuntukkan di bawah Akta berkenaan.
Cadangan dan struktur penggubalan RUU PK telah dibentangkan oleh Bahagian Perolehan Kerajaan (SBPK) Kementerian Kewangan Malaysia (MOF) diketuai oleh Setiausahanya, Datuk Norison Ramli menerusi pertemuan dengan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki di Ibu Pejabat SPRM, di sini hari ini.
Penggubalan RUU PK bertujuan mewujudkan satu bentuk perundangan bagi mengawal selia proses perolehan kerajaan, memperincikan kuasa-kuasa pihak berkepentingan di bawah Akta serta mewujudkan mekanisme semak dan imbang demi memastikan tata kelola baik serta memenuhi amalan terbaik antarabangsa.
Norison berkata, menerusi pembentangan itu, pihaknya berharap SPRM dapat memberi cadangan dan pandangan berkaitan RUU PK khususnya membabitkan penguatkuasaan dan pemakaian akta tertentu di bawah bidang kuasa SPRM.
Sementara itu, Azam menyokong intipati cadangan yang dibentangkan dalam penggubalan RUU PK khususnya cadangan yang berkait rapat dengan Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional (NACS).
“NACS landasan mahupun platform terbaik SPRM untuk membaiki kelemahan di bawah RUU PK,” katanya.
Turut hadir Timbalan Pengarah Bahagian Perundangan dan Pendakwaan SPRM, Datuk Ahmad Akram Gharib, Timbalan Pengarah 1, Bahagian Dasar, Perancangan dan Penyelidikan (BDPP) SPRM, Nadiah Azis serta Ketua Pegawai Integriti MOF, Kamaruddin M Ripin.
© New Straits Times Press (M) Bhd




