Penghijrahan Ibrahim ke JDT langkah paling tepat – SPFC

Penghijrahan Ibrahim ke JDT langkah paling tepat – SPFC

sukan@hmetro.com.my

Kuantan: Kelab Bolasepak Sri Pahang (SPFC) percaya penghijrahan Ibrahim Manusi ke Johor Darul Ta’zim (JDT) mampu meningkatkan prestasi untuk beraksi pada tahap terbaik.

SPFC menerusi hantaran di Facebook rasminya mengucapkan tahniah dan mendoakan bekas pemain tengah skuad Tok Gajah menyerlah dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) Bersama pasukan baharu.

“Ibrahim Manusi anak kelahiran Sungai Buloh memulakan karier bola sepak profesional bersama skuad Presiden Sri Pahang FC pada 2021.

“Kemudian bakatnya digilap untuk bersama skuad Piala MFL sebelum menambat hati ketua jurulatih skuad senior dengan aksi yang memberangsangkan.

“29 penampilan bersama skuad senior membuktikan pemain berusia 23 tahun ini mampu mengorak langkah lebih luas dengan menerima tawaran daripada pasukan JDT,” menurut kenyataan itu.

Isnin lalu, JDT terus bertindak pantas dalam membentuk skuad mantap bagi menghadapi musim depan apabila mengumumkan Ibrahim sebagai rekrut terbaharu skuad Harimau Selatan.

Pengumuman kehadiran bekas pemain tengah skuad Tok Gajah tu dibuat Harimau Selatan menerusi video yang dimuat naik di laman Facebook rasmi kelab, JOHOR Southern Tigers.

“Hanya ada satu tempat untuk membawa bola sepak ke standard yang lebih tinggi. Selamat datang ke Harimau Selatan, Ibrahim Manusi,” tulis kelab itu dalam video berkenaan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top