Penyanyi popular, Datuk Zaina Abidin bertegas tidak akan membalas kenyataan anaknya yang juga seorang pempengaruh media sosial, Timur Gabriel.
Katanya, tuduhan tiada usaha memperbaiki hubungan mereka tidak perlu dijelaskan kepada umum sebaliknya lebih baik anaknya itu sendiri tahu kebenarannya.
“Tiada apa-apa untuk dijelaskan. Dia boleh kata apa saja dia mahu.
“Kalau saya nak jawab, saya jawab. Tapi untuk saya, anak saya mesti bernama ‘binti Zainal Abidin’.
“Kalau bukan menggunakan nama itu, maka bukanlah anak saya. Itu saja jawapan saya.
Pelantun lagu Hijau itu juga menjelaskan, dia sama sekali tidak percaya pada kenyataan dan tuduhan yang diperkatakan Timur.
“Kalau nak tanya saya percaya atau tidak pada kenyataan dia, jawapan saya, tidak.
“Dia ada hak untuk berkata apa dia mahu. Silakan.
“Sebab saya percaya, Allah lebih mengetahui. Itu pandangan peribadi saya,” katanya.
“Saya bukan TikTokers yang kejar duit”
Mengulas lanjut, Zainal berkata sepanjang berada dalam industri, reputasinya sebagai anak seni sentiasa terjaga dan berada di landasan yang betul.
Malah, dia tidak perlu mencari publisiti murahan kerana dia juga sudah berjaya menjadi anak seni yang berjaya.
“Anda boleh lihat sendiri, walaupun saya tidak menjawab secara langsung, siapa sebenarnya yang lebih baik, siapa lebih berjaya. Siapa yang sedang berada di landasan betul.
“Saya bukan ‘TikToker’ yang kejar duit. Bukan. Saya penyanyi. Saya anak seni dan saya berjaya.
“Mereka boleh bercakap sesuka hati sebab apa yang dikata bukan kebenaran.
“Kalau perkara itu benar, saya pasti sudah musnah. Tapi ini tidak benar. Jadi cakaplah apa yang nak dikatakan,” jelasnya.
Terdahulu, Timur mendedahkan dia tidak mempunyai hubungan yang baik dengan Zainal.
Bahkan, mendakwa dia juga sudah terputus komunikasi.
Menerusi perkongsian di podcast Head Over Heels, Timur memberitahu apa yang membuat dirinya terkilan apabila Zainal seolah-olah tidak ‘berminat’ untuk mengetahui perkembangannya.
Sumber: Harian Metro