Israel sahkan konflik dengan Iran akan berpanjangan, minta rakyat bersedia

Israel sahkan konflik dengan Iran akan berpanjangan, minta rakyat bersedia

Pegawai kanan tentera Israel memberi amaran bahawa konflik bersenjata dengan Iran dijangka berlarutan dan menyeru rakyat agar bersedia menghadapinya.

Pegawai kanan tentera Israel memberi amaran bahawa konflik bersenjata dengan Iran dijangka berlarutan dan menyeru rakyat agar bersedia menghadapinya.

TEL AVIV – Pegawai kanan tentera Israel memberi amaran bahawa konflik bersenjata dengan Iran dijangka berlarutan dan menyeru rakyat agar bersedia menghadapi “kempen paling kompleks dalam sejarah negara”, menurut kenyataan rasmi yang disiarkan pada Sabtu.

Ketua Staf Angkatan Pertahanan Israel (IDF), Leftenan Jeneral Eyal Zamir dalam ucapan video menyatakan bahawa Israel kini berada dalam fasa awal operasi ketenteraan besar-besaran bagi menghapuskan ancaman yang didakwanya mampu menggugat kewujudan negara Yahudi itu.

“Kita telah melancarkan serangan pembukaan yang berjaya, tetapi hari-hari mencabar masih menanti,” kata Zamir.

Beliau turut menyatakan bahawa Iran telah membangunkan keupayaan peluru berpandu dan senjata nuklear selama bertahun-tahun, dan kini berada pada tahap yang tidak boleh lagi diabaikan.

Menurut beliau, Israel telah memusnahkan hampir separuh pelancar peluru berpandu milik Iran serta menyerang pusat kawalan dan komponen penting dalam program nuklear negara berkenaan.

Namun, beliau menegaskan bahawa operasi ketenteraan itu tidak akan berakhir dalam masa terdekat.

“Kami sedang bersiap sedia untuk pelbagai kemungkinan. Ini bukan konflik yang akan selesai dalam beberapa hari. Ia mungkin mengambil masa berminggu-minggu,” ujarnya.

Amaran ini hadir ketika Iran terus melancarkan serangan balas menggunakan peluru berpandu dan dron ke atas bandar-bandar utama Israel termasuk Tel Aviv dan Haifa. Setakat ini, sekurang-kurangnya 25 orang dilaporkan terkorban di Israel sejak konflik bermula minggu lalu.

Sementara itu, negara-negara Eropah seperti Perancis, Jerman dan United Kingdom sedang giat menjalankan usaha diplomatik bagi meredakan ketegangan. Mereka menggesa kedua-dua pihak menghentikan serangan dan kembali ke meja rundingan.

Namun, Iran menegaskan bahawa sebarang rundingan hanya akan dipertimbangkan sekiranya Israel menghentikan serangannya sepenuhnya.- Awani 

Scroll to Top