am@hmetro.com.my
Johor Bahru: “Kejadian amat menakutkan, beberapa siri letupan kuat jelas kedengaran,” kata suri rumah Elesha Alwi, 42 tahun, seorang daripada penduduk yang tinggal berhampiran Kawasan Perindustrian Kota Puteri, Taman Megah Ria, Masai, di sini, yang terbakar hari ini.
Menurutnya, dia sudah mendengar bunyi dentuman kira-kira jam 12 tengah hari sebelum nampak api marak dengan asap hitam di kawasan berkenaan.
“Ketika kejadian, saya bersama tiga anak di dalam rumah, memang takut dan risau.
“Pihak polis turut mengarahkan kami keluar dari rumah, dan kami menggunakan pintu belakang,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, hari ini.
Seorang lagi penduduk, Zulkarnain Mohamad Nor, 63 berkata, ini kejadian pertama kali berlaku di kawasan berkenaan, dan paling merisaukan rumahnya hanya terletak kira-kira 50 meter dari kawasan kebakaran.
“Saya nampak ada kepulan asap tebal, namun tidak lama selepas itu api makin merebak dan sangat cepat.
“Mungkin ada minyak tumpah kerana ada stor minyak. Ada juga beberapa lori yang diletakkan di kawasan berkenaan,” katanya yang risau kejadian di Putra Height berulang di situ.
Kebakaran besar di Masai: Stor lori, minyak terbakar 60 peratus
Kilang minyak terbakar, asap hitam menjulang 100 meter ke udara, penduduk diarah pindah
© New Straits Times Press (M) Bhd




