Berdasarkan rekod, purata kematian setiap hari mencatatkan kehilangan 20 nyawa.
Ia bersamaan dalam tempoh kurang dua jam, seorang akan meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya.
Wartawan NURUL HUSNA MAHMUD mendapatkan Pengasas dan Penasihat Keselamatan Jalan Raya serta Sukan Permotoran, Persatuan Pakar Keselamatan Jalan Raya (PPKJR) Jamil Manan Supri untuk berkongsi mengenai sikap pemandu di negara ini yang mengundang kepada kadar kemalangan yang tinggi.
Bercakap mengenai etika pemanduan, bagaimana saudara melihat dalam konteks negara kita?
Kualiti pemanduan rakyat Malaysia masih rendah. Walaupun setiap hari berlakunya perlanggaran membabitkan kecederaan parah, maut dan kerosakan kenderaan yang teruk, faktor berulang iaitu pemandu melakukan kesalahan jalan raya masih berterusan.
Pengguna tidak mengambil langkah untuk meningkatkan skil pemanduan berhemah dan latihan mengawal diri serta bersabar ketika berdepan tekanan di jalan raya.
Menurut kajian, 80 peratus punca perlanggaran adalah faktor kecuaian manusia, manakala 20 peratus disebabkan faktor kenderaan, keadaan jalan dan cuaca.
Purata 6,000 kematian direkodkan setiap tahun dan 20 kematian setiap hari, di mana 70 peratus membabitkan motosikal.
Rangkuman kajian menunjukkan majoriti, tahap atau kualiti pemandu di Malaysia masih di tahap yang kurang memuaskan terutama dari aspek pengawalan kelajuan kenderaan dan mengelak kemalangan dan berhadapan situasi kecemasan.
Wujud kebimbangan mengenai sikap pemandu yang membimbangkan pengguna lain. Boleh berikan contoh?
Sikap pemandu ego banyak mempengaruhi keupayaan memandu dan kelemahan dari aspek pengawalan emosi dan ini antara salah satu penyumbang berlakunya insiden perlanggaran di jalan raya.
Hasil daripada kajian PPKJR juga mendapati pemandu berubah sikap apabila berada di jalan raya terutama menjadi pembuli jalanan.
Tekanan hidup antara faktor yang mendorong pemandu menjadi pembuli jalan raya. Ini menyebabkan mereka bertindak agresif di jalan raya.
Faktor-faktor lain yang mungkin menyumbang kepada masalah ini termasuk rekod gangguan mental dan tekanan emosi serius menjejaskan tumpuan serta membuatkan pemandu lebih mudah marah dan bertindak agresif. Kurang kesabaran disebabkan desakan masa dan keperluan untuk cepat sampai ke destinasi juga penyumbang perubahan sikap pemandu termasuklah bertindak kasar terhadap pengguna jalan raya lain.
Syarat ditetapkan membabitkan pemandu persendirian dan komersial boleh memberi impak. Boleh komen?
Perbezaan syarat atau peraturan dalam memperbaharui lesen membabitkan pemandu perseorangan dan komersial ada kepentingannya.
Pengendalian kenderaan komersial tertakluk kepada faktor kelajuan serta berat dan muatan bagi kenderaan komersial dan pengangkutan.
Diwajibkan menjalani pemeriksaan kesihatan berkala bagi memastikan kapasiti pemandu segmen ini dalam keadaan baik dan selamat.
Manakala pemandu kenderaan persendirian tidak diwajibkan tetapi bagi PPKJR melihat terdapat keperluan pemandu perseorangan atau persendirian menjalani pemeriksaan kesihatan.
Sejak kebelakangan ini, insiden perlanggaran atau kemalangan di luar jangka berlaku akibat pemandu pitam, pengsan dan tiba-tiba mendapat serangan sawan dan lain-lainnya tidak terkecuali pemandu OKU pemilik lesen memandu yang mempunyai masalah kesihatan dan gangguan mental.
Sebaiknya pemandu wajib menjalani pemeriksaan mata, pendengaran, tekanan darah, dan ujian lain yang berkaitan dengan kesihatan fizikal dan mental.
Pemeriksaan kesihatan harus dilakukan secara berkala untuk memastikan mereka berada dalam keadaan kesihatan yang baik.
Apakah pula usaha boleh dilaksanakan oleh kerajaan bagi meningkatkan etika pemanduan rakyat Malaysia?
Lazimnya ramai yang belajar di institusi memandu hanya sekadar mendapatkan lesen memandu sahaja.
Pemandu perlu mempunyai persediaan minda dan fizikal yang lengkap serta komitmen yang tinggi ketika memandu bagi menghadapi cabaran jalan raya.
Kajian PPKJR mendapati rata-rata pihak mahu silibus memandu ditambah baik dengan memberi tumpuan kepada memperbaiki sikap serta pematuhan pemandu terhadap keselamatan dan pematuhan undang-undang jalan raya.
Ia perlulah sehingga peringkat akar umbi iaitu membabitkan tenaga pengajar wajib memiliki kompetensi mengajar yang berkualiti.
Pada masa yang sama operasi rondaan bagi membanteras sikap pemandu yang berbahaya dan kurang berdisiplin perlu dipertingkatkan secara berterusan.
Perlu ada ketegasan mensabitkan kesalahan yang dilalukan tanpa budi bicara dan terbaik sekali ialah pemandu kenderaan yang mempunyai kamera papan pemuka untuk bersama-sama memberikan maklumat perihal pesalah laku trafik.
Budaya memberikan diskaun ke atas kompaun kesalahan trafik perlu dimansuhkan sama sekali.
Kementerian perlu mewajibkan saringan kesihatan dan dijadikan syarat untuk mendapat serta memperbaharui lesen memandu dan tidak sepatutnya berkompromi apabila ianya berkait kesihatan dan keselamatan pemandu.
Seterusnya, PPKJR menyarankan agar ‘ujian bahaya kesempurnaan’ merujuk kepada Ujian Persepsi Bahaya (perfection hazard test), komponen ujian teori pemanduan yang menilai keupayaan pemandu untuk mengenali dan bertindak balas terhadap potensi bahaya di jalan raya diwajibkan juga.
© New Straits Times Press (M) Bhd




