Tragedi belon udara panas: 8 maut di Brazil

Tragedi belon udara panas: 8 maut di Brazil

Brasilia: Sekurang-kurangnya lapan individu maut pada Sabtu selepas belon udara panas dinaiki 21 orang terbakar di selatan Brazil, kata gabenor Santa Catarina.

“Lapan maut dan 13 terselamat,” ciap gabenor Jorginho Mello di X.

Video yang diambil oleh orang ramai dan disiarkan di televisyen Brazil menunjukkan detik ketika belon itu terbakar di ruang udara pantai Praia Grande.

Keadaan cuaca cerah ketika itu, dan belon panas yang membawa penumpang jatuh puluhan meter ke tanah akibat kejadian itu.

“Kami masih tidak mempunyai maklumat tentang keadaan mangsa yang terselamat,” kata jurucakap bomba Santa Catarina kepada AFP.

Menurut jurucakap bomba, mangsa yang terselamat dirawat di hospital tempatan.

Siasatan lanjut dijalankan untuk mengenal pasti punca kejadian.

“Saya ingin menyatakan solidariti saya dengan keluarga mangsa,” kata Presiden Brazil Luiz Inacio Lula da Silva dalam satu kenyataan.

Juruterbang memberitahu kebakaran itu dicetuskan oleh blowtorch (penyumpit gas) di belon udara itu, kata pegawai polis di Praia Grande Tiago Luiz Lemos kepada media tempatan.

Juruterbang cuba melakukan pendaratan selepas kebakaran dan meminta penumpang melompat untuk turun daripadanya sebaik ia mendarat.

Bagaimanapun, sebahagian daripada mereka tidak dapat melakukannya dan api semakin marak,” kata pegawai itu.

Praia Grande, di pantai Atlantik adalah destinasi popular untuk belon udara panas di Brazil.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top