Cincinnati: Pemain simpanan Borussia Dortmund terpaksa berlindung daripada terik matahari ketika menang 4-3 ke atas Mamelodi Sundowns dalam saingan Piala Dunia Kelab, semalam — dalam keadaan yang disifatkan pengendali mereka, Niko Kovac, umpama ‘duduk dalam sauna’.
Aksi Kumpulan F yang berlangsung di Stadium TQL, Cincinnati itu menyaksikan cuaca panas terik mencecah 32 darjah Celsius, memaksa barisan pemain simpanan menyaksikan separuh masa pertama dari dalam bilik persalinan sebelum keluar pada babak kedua dengan berteduh di bawah payung di bangku simpanan.
“Saya berpeluh seperti baru keluar dari sauna,” kata Kovac, yang sehari sebelum perlawanan sudah pun mengeluh mengenai cuaca panas melampau dijangka berlaku ketika menentang kelab dari Afrika Selatan itu.
“Ia sukar untuk kedua-dua pasukan, tetapi lawan sudah biasa dengan keadaan begini. Kami jelas tidak bermain dengan persembahan terbaik kami — dan dalam keadaan sebegini, itu memang mustahil.”
Dortmund turut memuat naik gambar di platform media sosial X, memaparkan pemain simpanan mereka sedang menonton separuh masa pertama menerusi televisyen dari bilik persalinan.
“Pemain simpanan kami menyaksikan separuh masa pertama dari dalam bilik persalinan bagi mengelak kepanasan melampau di Stadium TQL — tidak pernah berlaku sebelum ini, tetapi dalam cuaca sebegini, ia memang wajar,” tulis kenyataan kelab Jerman itu.
Perlawanan dimulakan jam 12 tengah hari waktu tempatan, iaitu pada waktu suhu berada di tahap paling tinggi.
Kovac sudah memberi amaran kepada pihak media sejak hari sebelumnya bahawa tiada sebarang bumbung atau perlindungan daripada matahari di bangku simpanan, malah turut mengingatkan agar membawa pelindung matahari, topi dan air yang mencukupi.
Beberapa pasukan lain turut mengadu mengenai bahang musim panas di Amerika Syarikat, terutama untuk perlawanan yang dimulakan pada awal petang.
Pemain Atletico Madrid, Marcos Llorente, turut mendedahkan dia mengalami kesakitan pada kuku kaki kerana kepanasan ketika beraksi di Rose Bowl, Pasadena dalam perlawanan pembukaan menentang Paris Saint-Germain pada 15 Jun lalu.
© New Straits Times Press (M) Bhd




