Paris: Juara dunia tujuh kali, Lewis Hamilton mungkin mengambil keputusan meninggalkan Formula Satu (F1) sekiranya terus bergelut bersama Ferrari menjelang kitaran peraturan baharu pada musim 2026, menurut bekas pelumba F1, Juan Pablo Montoya.
Perpindahan sensasi Hamilton ke Ferrari setakat ini masih gagal mencapai sasaran yang diharapkan apabila pelumba Britain itu tidak mampu mencabar rakan sepasukannya, Charles Leclerc, secara konsisten.
Walaupun Leclerc sudah meraih tiga podium Grand Prix musim ini, Hamilton belum pernah menamatkan perlumbaan lebih baik dari kedudukan keempat, meskipun mencuri tumpuan apabila memenangi perlumbaan pecut di Grand Prix China pada Mac lalu.
Dari segi kutipan mata, Leclerc jauh mendahului Hamilton dengan 104 berbanding 79 mata selepas 10 pusingan pertama musim ini.
Montoya, yang pernah berlumba untuk Williams dan McLaren, percaya Hamilton sedang bekerja keras bersama jurutera Ferrari untuk memperbaiki prestasinya, memandangkan jentera SF-25 amat berbeza dengan kereta Mercedes yang dipandunya selama 12 musim berturut-turut.
Namun, jika tiada peningkatan ketara menjelang musim 2026 – tahun di mana F1 akan melaksanakan perubahan besar terhadap peraturan casis dan enjin, Montoya yakin Hamilton mungkin mempertimbangkan untuk bersara.
“Saya rasa Hamilton lebih lapar sekarang berbanding sebelum ini kerana dia mahu buktikan semua orang salah.
“Tetapi jika musim 2026 gagal, dia mungkin akan berkata ‘saya dah tak kisah’. Tapi buat masa ini, dia benar-benar menekan Ferrari. Sama ada pasukan itu selesa atau tidak dengan tekanannya, saya tak pasti!
“Dia perlu tekan jurutera-jurutera itu, buat mereka rasa tak selesa, sama ada mereka suka atau tidak. Jurutera perlu faham, Hamilton bukan cuba nak menyusahkan mereka, tapi dia nak kereta itu jadi lebih baik.
“Itu sesuatu yang sukar. Sebagai jurutera dan pelumba, anda kena belajar untuk tidak ambil semuanya secara peribadi,” kata Montoya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




