Ipoh: Kerajaan negeri menyasarkan pelaksanaan penguatkuasaan pengharaman penjualan rokok elektronik atau vape di seluruh Perak pada Oktober ini.
Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Nasional negeri, A Sivanesan berkata, satu kertas kerja berkaitan perkara itu sedang dirangka oleh Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Perak.
“Kita sudah arahkan JKN Perak diterajui pengarahnya, Dr Feisul Idzwan Mustapha, untuk pastikan kertas kerja ini dapat disiapkan secepat mungkin.
“Kertas kerja itu juga akan dibawa ke dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMK) untuk diputuskan penguatkuasaannya yang saya sasarkan Oktober ini,” katanya selepas merasmikan Program Simposium Ortopedik: Perkembangan Terkini dan Amalan Terbaik dalam Bidang Ortopedik anjuran Perak Community Specialist Hospital (PCSH) di sebuah hotel, di sini, hari ini.
Pada 4 Jun lalu, Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad menjelaskan, kerajaan negeri sedang meneliti keperluan secara menyeluruh untuk mengharamkan penjualan rokok elektronik terbabit di Perak.
Saarani berkata, perkara itu sudah dibangkitkan dalam MMK, namun ada beberapa perkara yang perlu diperhalusi secara komprehensif.
Sementara itu, Sivanesan berkata, meskipun mengakui tindakan itu akan menerbitkan rasa kurang senang dalam kalangan pengusaha vape, namun ia memberi manfaat secara menyeluruh kepada rakyat, terutama dalam aspek kesihatan.
“Kita sudah bersedia (rungutan) dengan perkara ini dan bagi kita, apa yang baik untuk rakyat, kita akan teruskan,” katanya.
Selain itu, beliau berkata, lebih 90 individu terdiri daripada pakar ortopedik seluruh negara menyertai program anjuran PCSH.
Beliau berkata, langkah penganjuran itu wajar dicontohi oleh hospital swasta lain di Perak kerana ia bertujuan menyampaikan maklumat serta menguar-uarkan teknologi terkini yang diguna pakai dalam bidang kesihatan pada ketika ini.
© New Straits Times Press (M) Bhd




