Usul tarik balik gantung keahlian Hishammuddin perlu dibawa ke Majlis Tertinggi UMNO – Johari

Usul tarik balik gantung keahlian Hishammuddin perlu dibawa ke Majlis Tertinggi UMNO – Johari

am@hmetro.com.my

Kuala Kangsar: Usul untuk menarik balik penggantungan keahlian UMNO Datuk Seri Hishammuddin Hussein yang dibangkitkan oleh perwakilan UMNO Sembrong perlu dibawa ke Majlis Tertinggi UMNO.

Naib Presiden UMNO Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, walaupun mereka boleh mengemukakan cadangan itu, keputusan muktamad tetap terletak pada Majlis Tertinggi UMNO.

“Mereka boleh buat cadangan, tetapi cadangan itu perlu dibawa ke Majlis Tertinggi UMNO. Hanya selepas itu saya boleh beri komen,” katanya.

Johari yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri sesi dialog bersama kementeriannya, di sini, hari ini.

Semalam, UMNO Sembrong sekali lagi menggesa kepimpinan parti supaya menarik balik penggantungan terhadap bekas ketua bahagiannya, Hishammuddin, tanpa sebarang syarat.

Usul itu dibentangkan dalam Mesyuarat Perwakilan Tahunan bahagian itu, menandakan tahun kedua berturut-turut permintaan supaya bekas Menteri Pertahanan itu dikembalikan ke dalam parti dibangkitkan.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi, yang merasmikan mesyuarat UMNO Sembrong memulakan ucapannya dengan mengiktiraf Hishammuddin sebagai mentor politik beliau.

UMNO menggantung keahlian Hishammuddin selama enam tahun pada 27 Januari 2023, dalam satu proses pembersihan parti yang turut menyaksikan beberapa tokoh senior lain seperti bekas Ketua Pemuda Khairy Jamaluddin, bekas Ketua Penerangan Shahril Sufian Hamdan dan bekas Pengerusi UMNO Selangor Tan Sri Noh Omar, dipecat atau dikenakan tindakan disiplin.

Hishammuddin sehingga kini enggan membuat rayuan terhadap penggantungannya dan menegaskan bahawa beliau masih belum diberikan alasan di sebalik tindakan disiplin itu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top