Skuad negara kembali `menghayun raket'

Skuad negara kembali `menghayun raket'

helmi.talkah@bh.com.my

KUALA LUMPUR: Selepas dua minggu menjalani kuarantin, skuad badminton negara kembali ‘menghayun raket’ di Akademi Badminton Malaysia (ABM) Bukit Kiara, di sini, semalam.

Bagaimanapun, buat permulaan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) hanya membenarkan 29 pemain kembali berlatih membabitkan skuad senior yang dalam persiapan menghadapi Sukan Olimpik Tokyo 2020 selain Terbuka Malaysia (25 hingga 30 Mei) dan Terbuka Singapura (1 hingga 6 Jun).

Beberapa pemain skuad pelapis juga kembali berlatih selepas mereka dijadual beraksi dalam tiga kejohanan di Eropah iaitu Masters Sepanyol (18 hingga 23 Mei), Siri Antarabangsa Slovenia (19 hingga 22) dan Terbuka Austria (27 hingga 30 Mei).

“Pemain yang berada di sini adalah mereka yang akan menyertai kejohanan dalam tempoh beberapa minggu lagi. Kami akan mengikuti protokol yang ditetapkan. Kami akan cuba untuk kurangkan jumlah pemain terutamanya dalam tempat kecil seperti di gimnasium.

“Apa pun semua pemain yang kini berada dalam gelembung sukan sudah disahkan bebas (daripada COVID-19),” kata Pengarah Kejurulatihan BAM, Wong Choong Hann.

Latihan skuad badminton negara di ABM sebelum ini terpaksa ditangguhkan selepas 15 pemain diuji positif COVID-19. Enam kes pertama dilaporkan pada 17 April lalu, sebelum lapan lagi kes direkodkan tiga hari kemudian manakala satu lagi kes dicatatkan pada 25 April lalu.

Susulan kes positif yang dilaporkan, BAM membuat keputusan untuk kembali mengadakan latihan secara kuarantin menerusi konsep gelembung sukan.

Dalam pada itu, Choong Hann menyambut baik langkah terbaharu dikeluarkan penganjur Sukan Olimpik Tokyo 2020 yang menyaksikan atlet perlu menjalani ujian calitan COVID-19 setiap hari.

Katanya, ia adalah langkah yang baik bagi menjamin keselamatan dan kesihatan atlet serta pegawai sepanjang berlangsungnya temasya terbesar dunia itu ketika pandemik COVID-19 masih lagi menular di seluruh dunia.

“Kita akan mematuhi segala protokol yang ditetapkan penganjur Sukan Olimpik Tokyo,” kata Choong Hann.

Rabu lalu, Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC), Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa (IPC), Jawatankuasa Penganjur Sukan Olimpik dan Paralimpik Tokyo (Tokyo 2020), kerajaan Metropolitan Tokyo dan kerajaan Jepun mengeluarkan beberapa langkah tambahan bagi temasya berkenaan dalam ‘playbook’ (buku panduan) terkini.

Antaranya, peserta perlu menjalani dua ujian COVID-19 sebelum penerbangan ke Jepun dan ujian harian bagi atlet serta orang yang berdekatan dengan mereka bagi meminimumkan risiko kes positif yang tidak dikesan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top