London: Iran berkemungkinan besar akan digantung daripada menyertai Piala Dunia FIFA 2026 susulan ancaman peperangan antara negara itu dan tuan rumah kejohanan, Amerika Syarikat (AS).
Pasukan kebangsaan Iran pada Mac lalu menjadi pasukan keenam layak ke kejohanan yang akan berlangsung di AS, Mexico dan Kanada tahun depan.
Namun, serangan udara terbaru ke atas kemudahan nuklear negara itu kini menjadi perhatian dunia apabila ketegangan ketenteraan terus memuncak.
Situasi semasa menjadikan kemungkinan pasukan kebangsaan Iran dikenali sebagai Team Melli untuk bermain di bumi AS amat tipis.
Penampilan keempat berturut-turut Iran di Piala Dunia kini berada dalam keadaan genting.
Penggantungan daripada kejohanan satu kemungkinan yang nyata memandangkan beberapa pasukan sebelum ini dilarang menyertai kejohanan antarabangsa atas dasar negara yang sedang berperang tidak dibenarkan mengambil bahagian.
Rusia, misalnya digantung tanpa tempoh oleh FIFA sejak pencerobohan ke atas Ukraine, manakala FIFA dan UEFA turut mengharamkan Yugoslavia daripada bertanding pada era 1990-an akibat konflik di Balkan.
Walaupun Iran dibenarkan menyertai kejohanan tahun depan, mereka berkemungkinan besar akan beraksi tanpa kehadiran penyokong kerana negara itu masih tersenarai dalam senarai larangan perjalanan oleh Presiden Donald Trump, yang menghalang warganegara tertentu daripada memasuki AS.
Keputusan tersebut dibuat pada Mac lalu dan merangkumi sekatan perjalanan yang ketat terhadap lebih 40 negara termasuk Iran, Afghanistan, Republik Congo, Libya, Myanmar, Somalia, Sudan, Yaman dan beberapa negara lain.
Pengecualian kemungkinan besar hanya akan diberikan kepada pasukan dan kakitangan yang berkaitan sahaja.
© New Straits Times Press (M) Bhd




