SD Guthrie Berhad (SD Guthrie) dan Sime Darby Property Berhad (SDP) menandatangani perjanjian usaha sama bagi membangunkan kawasan seluas sehingga 2,000 ekar di Pulau Carey, Selangor.
Kerjasama itu merupakan satu inisiatif untuk menyokong pertumbuhan inovasi dan ekonomi mampan di pulau berkenaan.
Pembangunan tersebut sekali gus akan melengkapi operasi Westport dan Northport kerana kedua-duanya merupakan syarikat pelaburan strategik di bawah Permodalan Nasional Berhad (PNB).
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PNB, Datuk Abdul Rahman Ahmad berkata, kerjasama itu sejajar dengan aspirasi nasional dalam merangsang pelaburan domestik.
Menurutnya, lonjakan pembangunan mampan di kawasan berpotensi tinggi akan membantu mengukuhkan ekonomi Malaysia.
“Usaha sama antara kedua-dua syarikat strategik PNB ini akan memberi lonjakan kepada pembangunan mampan di kawasan berpotensi tinggi serta membantu mengukuhkan lagi pertumbuhan ekonomi dan perindustrian Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.
Dalam pada itu, menurut Pengarah Urusan Kumpulan SD Guthrie, Datuk Mohamad Helmy Othman Basha, gabungan pembangunan baharu dan sedia ada di pulau tersebut dijangka akan mewujudkan peluang pekerjaan dan memperkasa ekonomi setempat, selain mengekalkan nilai warisan masyarakat tempatan.
Jelasnya, pendekatan strategik kedua-dua syarikat untuk memacu nilai mampan di Pulau Carey akan memastikan keperluan dan kesejahteraan komuniti tempatan diberi keutamaan, termasuklah masyarakat Orang Asli Mah Meri yang merupakan penduduk asal pulau tersebut.
“Kami menyokong penuh aspirasi kerajaan untuk mempercepatkan pertumbuhan perdagangan antarabangsa serta memenuhi permintaan terhadap kemudahan industri yang inovatif.
“Selain itu, pulau ini mempunyai aksesibiliti dengan bandar-bandar berdekatan melalui Lebuhraya Lembah Klang Selatan (SKVE) yang turut bersambung dengan Lebuhraya Utara-Selatan.
“Infrastruktur ini menawarkan potensi besar untuk membangunkan hab industri dan logistik, selain perniagaan perladangan sedia ada yang dapat terus berkembang,” ujarnya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Sime Darby Property, Datuk Seri Azmir Merican berkata, kerjasama itu bakal merealisasikan potensi Pulau Carey sebagai pelabuhan dinamik dan memacu aspirasi negara untuk menjadi hab logistik dan ekonomi serantau.
Menurutnya, pada tahun 2024, SD Guthrie telah mengumumkan hasrat untuk membangunkan dua bidang perniagaan baharu, iaitu taman industri dan tenaga boleh diperbaharui.
“Kerjasama ini membolehkan kami memulakan perancangan induk dan reka bentuk ekosistem industri masa depan yang akan memenuhi keperluan perniagaan dan komuniti untuk jangka masa panjang, selari dengan matlamat kami sebagai Pengganda Nilai kepada masyarakat, perniagaan, ekonomi dan planet,” katanya.
Â
Â