am@hmetro.com.my
Jerantut: Berpuluh kubur lama di tanah perkuburan Kampung Sokti dan Kampung Bukit Puas yang terletak di tebing Sungai Pahang, di sini, dipercayai hilang kerana masalah hakisan.
Penduduk mendakwa tanah perkuburan itu yang wujud sejak puluhan tahun lalu terhakis dan paling teruk ketika banjir besar pada 1971 dan 2014.
Bekas Bilal Masjid Gintong, Mohd Mokhtar Ngah, 78, berkata, dalam kejadian itu, beberapa kubur paling hampir dengan tebing sungai terhakis.
“Disebabkan hakisan, banyak kubur lama di dua tanah perkuburan itu hilang.
“Difahamkan pengebumian terakhir di kawasan kubur itu ialah 25 tahun lalu sebelum dipindahkan ke tapak kubur baharu di Kampung Gintong,” katanya ketika ditemui di rumahnya, di sini, hari ini.
Penduduk Kampung Bukit Puas, Mohd Taufik Mansor, 50, berkata, ketika kanak-kanak, dia sering menziarahi kubur saudara mara di kawasan perkuburan lama itu.
Menurutnya, ketika itu, terdapat lebih 500 kubur di kawasan terbabit dan sebahagiannya hilang kerana masalah hakisan.
“Jika diikutkan, lebih 50 meter panjang dan 20 meter lebar tebing sungai menempatkan puluhan kubur terhakis.
“Sejak kubur baharu dibuka, kawasan ini sudah terbiar dan dipenuhi semak. Sepatutnya kawasan kubur lama ini dijaga dan pihak berkuasa ambil tindakan untuk elak hakisan terus berlaku.” katanya.
Sementara itu, jurucakap Pejabat Agama Islam Daerah Jerantut ketika dihubungi berkata, pihaknya belum menerima laporan daripada penduduk berhubung masalah kubur lama di tebing Sungai Pahang terhakis.
Katanya, pihaknya akan menjalankan siasatan segera berhubung masalah itu sebelum tindakan susulan dilakukan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




