Korea Utara dakwa AS hanya berpura-pura

Korea Utara dakwa AS hanya berpura-pura

WASHINGTON: Korea Utara hari ini menyifatkan pendekatan diplomasi Amerika Syarikat (AS) sebagai hanya ‘berpura-pura’.

Negara komunis itu sekali gus menolak idea rundingan dengan Washington, sehari selepas pentadbiran Presiden AS, Joe Biden, menegaskan pihaknya terbuka untuk berunding mengenai program nuklear.

Kementerian Luar Korea Utara dalam satu kenyataan seperti disiarkan agensi berita KCNA, menyelar diplomasi dibawa AS adalah ‘penuh kepura-puraan’ untuk ‘menutup tindakan permusuhannya’.

Korea Utara turut mendakwa Biden melakukan ‘kesilapan besar’ susulan sikapnya yang dianggap ‘ketinggalan zaman’ terhadap negara berkenaan.

Dalam satu kenyataan berasingan seperti disiarkan KCNA, Kementerian Luar mendakwa Biden bertindak menghina pemimpin Korea Utara, Kim Jong-Un.

“Kita sudah beri amaran yang jelas kepada AS bahawa jangan cuba provokasi sebab nanti akan terluka,” kata kementerian itu.

Rabu lalu, Biden ketika menyampaikan ucapan pertamanya sebagai Presiden kepada kongres berkata, beliau akan menggunakan pendekatan ‘diplomasi dan juga pencegahan tegas’ untuk mengekang cita-cita nuklear Korea Utara.

Menurut Rumah Putih kelmarin, matlamatnya tetap sama iaitu untuk ‘denuklearisasi sepenuhnya semenanjung Korea’.

Menerusi dasar AS, Setiausaha Akhbar Biden, Jen Pskai, berkata ia terarah kepada ‘pendekatan praktikal yang dikalibrasi, terbuka untuk dan akan menerokai diplomasi’ dengan Korea Utara.

Pskai turut memberi gambaran mengenai jenis inisiatif diplomatik yang dapat dilakukan bersandarkan pengalaman Biden menerusi pentadbiran sebelumnya yang berhempas pulas selama beberapa dekad untuk menangani pemerintahan diktator di Korea Utara atau dalam tempoh beberapa tahun lalu berikutan negara komunis itu semakin giat membangunkan program senjata nuklearnya.

Katanya, Washington tidak akan memberi tumpuan untuk mencapai rundingan yang besar dengan merujuk rundingan dramatik yang pernah dilakukan presiden AS terdahulu, Donald Trump semasa pertemuan dengan pemimpin Korea Utara. – AFP

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top