Keusahawanan tumpuan Sesi Panel Antarabangsa di City University Malaysia

Keusahawanan tumpuan Sesi Panel Antarabangsa di City University Malaysia

Cyberjaya: Seramai lebih 450 peserta menyertai forum antarabangsa anjuran City University Malaysia yang berlangsung di Cyberjaya. Penceramah terkemuka dari Perancis dan Malaysia bersama-sama menjayakan sesi panel bertemakan, “Membina Startup Mampan dalam Ekonomi Sedang Membangun,” dengan tujuan meneliti peranan pendidikan tinggi, kerajaan, dan undang-undang dalam pembangunan keusahawanan.

Forum ini mengetengahkan tiga pakar diiktiraf di peringkat antarabangsa iaitu Canselor IUT Nice Côte d’Azur, Perancis, dan Naib Pengerusi, Majlis Afrika untuk Keusahawanan dan Inovasi, Profesor Boualem Aliouat; Ketua Pegawai Eksekutif SME Corporation Malaysia merangkap Profesor Adjung di City University Malaysia, Prof Adjung Rizal Nainy dan Presiden Union des Français de l’Etranger di Malaysia serta penguam berpengalaman, Pierre Brochet.

Menariknya acara ini dihadiri tetamu kenamaan antarabangsa, termasuk Presiden Chamber of Commerce and Industry France Malaysia, Richard Fostier serta wakil-wakil dari kedutaan asing.

Turut hadir ialah pegawai kanan dari SME Corporation Malaysia, bersama wakil utama dari Institute of Public Accountants (IPA Malaysia) dan Chartered Institute of Management Accountants (CIMA).

Dari pihak City University Malaysia pula, acara ini diserikan dengan kehadiran Naib Canselor Profesor Dr Rosnizah Shaari, yang turut disertai oleh ahli Fakulti, ahli City U, serta kehadiran yang menggalakkan daripada para pelajar CityU.

Sesi panel antarabangsa ini merupakan sebahagian daripada Siri Penceramah Terkemuka anjuran City University Malaysia, sebuah pentas yang membawa pemimpin industri ke kampus untuk berkongsi pandangan dan kepakaran demi memperkayakan pengetahuan pelajar.

Pandangan yang dikongsi dalam sesi panel merangkumi bidang undang-undang, pembangunan perniagaan, dan akademik telah memberikan gambaran menyeluruh tentang bagaimana keusahawanan mampan boleh disokong dan dikembangkan.

Apabila ditanya, “Bagaimanakah seseorang boleh membina startup secara bersendirian tanpa akses kepada modal, rangkaian, atau rakan pengasas?”, setiap penceramah telah memberikan pandangan yang unik dan bernas.

“Bagi usahawan muda, pelan perniagaan anda mesti cukup kukuh untuk menarik minat pelabur,” kata CEO SME Corp, Prof Adjung Rizal Nainy. “Anda perlu mempunyai semangat yang tinggi, berorientasikan matlamat, sanggup mengambil risiko yang dikira, dan menyokong idea anda dengan analisis serta angka yang kukuh. Itulah X-factor perniagaan.”

Pierre Brochet pula berkongsi, “Anda mungkin memiliki idea yang cemerlang, malah modal yang mencukupi, namun memandangkan startup disruptif berpotensi memberi kesan kepada seluruh masyarakat, adalah penting untuk melibatkan masyarakat dan pihak kerajaan dalam proses anda.”

Sementara Professor Boualem Aliouat memaklumkan wang bukanlah kunci kejayaan. Apa yang lebih penting ialah membina pasukan impian anda serta menjaga kebajikan mereka.

“Kepercayaan diri memainkan peranan utama jika anda yakin akan berjaya, anda pasti akan berjaya; jika anda yakin akan gagal; anda pasti akan gagal.” menurutnya.

Selepas acara tersebut, satu tinjauan yang dijalankan dalam kalangan pelajar yang hadir mendedahkan bahawa 63 peratus menyatakan minat untuk memulakan perniagaan selepas tamat pengajian, manakala 75 peratus berkata mereka akan menyertai pertandingan startup anjuran universiti pada masa hadapan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top