Pasadena: Kapten Botafogo, Marlon Freitas berkata, pasukannya menepis kritikan dengan layak ke pusingan 16 terakhir Piala Dunia Kelab, walaupun tewas 0-1 kepada Atletico Madrid dan menamatkan saingan di tempat kedua Kumpulan B, awal pagi tadi.
Jaringan lewat Antoine Griezmann memberikan kemenangan kepada Atletico, tetapi ia tidak mencukupi untuk mengatasi kelebihan perbezaan jaringan milik pasukan Brazil itu, yang menamatkan saingan di belakang Paris Saint-Germain dalam Kumpulan B.
Freitas menekankan betapa besar pencapaian mara ke peringkat kalah mati dari kumpulan yang banyak pihak gelar sebagai ‘kumpulan maut.’
“Sudah tentu kami mahu menang, dan saya rasa kami ada peluang. Kami tahu bagaimana untuk bertahan, dan saya percaya kami sekurang-kurangnya layak seri. Melepaskan gol lewat itu sangat menyakitkan kerana kami mahu menamatkan saingan di tangga teratas kumpulan,” kata Freitas kepada TV Globo.
“Namun begitu, kami harus meraikannya kerana sebelum kejohanan bermula, semua orang fikir kami tiada peluang menentang dua lawan utama dari liga Eropah yang hebat. Kami menunjukkan nilai bola sepak Brazil. Kami juara Amerika Selatan dan kami layak untuk dihormati.”
Pemain pertahanan berpengalaman, Alex Telles, turut menyuarakan pandangan selari dengan Freitas.
“Memang sukar untuk bercakap mengenainya sekarang,” kata Telles.
“PSG dan Atletico menunjukkan lebih banyak rasa hormat kepada kami berbanding kebanyakan peminat dan pengulas. Pasukan ini melakukan apa yang perlu untuk mara ke peringkat seterusnya.
“Inilah kami, pasukan yang ada orang kata datang ke sini sekadar mahu jumpa Mickey di Disneyland, kini berada di pusingan 16 terakhir dalam kumpulan maut. Kelayakan ini membuktikan hasil kerja keras kumpulan pemain hebat ini.”
Botafogo kini akan menentang juara Kumpulan A pada tengah malam Sabtu, manakala PSG akan bertemu naib juara kumpulan tersebut keesokannya.
© New Straits Times Press (M) Bhd