Sekeluarga dicekup buka klinik gigi haram hasil belajar dari Youtube

Sekeluarga dicekup buka klinik gigi haram hasil belajar dari Youtube

Seorang doktor gigi yang menyamar ditahan bersama keluarganya di bandar Havlíckuv Brod. Foto hiasan Agensi

Seorang doktor gigi yang menyamar ditahan bersama keluarganya di bandar Havlíckuv Brod. Foto hiasan Agensi

PRAGUE – Polis Republik Czech menahan tiga sekeluarga yang didakwa menjalankan rawatan pergigian tanpa lesen sah dan tanpa latihan profesional di sebuah ‘klinik gigi palsu’ di rumah mereka.

Menurut kenyataan pihak berkuasa pada Rabu, klinik tersebut dibuka dua tahun lalu di kediaman mereka di bandar Havlíckuv Brod, kira-kira 100 kilometer dari Prague dan menerima puluhan pesakit sejak itu.

Tindakan mereka berjaya mengaut keuntungan sehingga 4 juta koruna Czech (RM875,000) sebelum mereka ditahan awal bulan ini.

Ketiga-tiga suspek telah mengaku bersalah atas pelbagai pertuduhan termasuk menjalankan perniagaan haram, cubaan mencederakan orang, mencuri serta penghasilan dan pengendalian bahan narkotik secara haram.

Polis mendedahkan bahawa suspek utama, seorang lelaki berusia 22 tahun, belajar prosedur rawatan gigi hanya melalui internet seperti YouTube.

Ibunya yang berusia 50 tahun dan berpengalaman sebagai jururawat bertindak sebagai pembantu serta pembekal bahan rawatan.

Sementara itu, bapa mereka yang berumur 44 tahun menghasilkan peralatan prostetik pergigian bagi kegunaan ‘klinik’ tersebut.

Kes berkenaan terbongkar selepas seorang pesakit mengalami komplikasi dan mendapatkan rawatan susulan daripada seorang doktor gigi sebenar yang kemudian melaporkan perkara itu kepada pihak berkuasa. – Agensi

Scroll to Top