mohamadridzuan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Pemain gitar kumpulan Spring, Iskandar atau nama sebenarnya Tengku Raden Iskandar Tengku Ismail, 56, meninggal dunia di rumahnya di Miri, Sarawak jam 1.45 pagi tadi.
Berita sedih ini dimaklumkan isterinya, Nur Hidayah Cecilia Abdullah atau CC menerusi perbualan ringkas dengan Sabariah Zakaria iaitu isteri penyanyi Spring, Ameng.
“Alhamdulillah…dia sempat mengucap. Dia ikut CC. Memang mudah kak Baya (Sabariah).
“Sekarang ni baru selesai kafan. Anak yang sulung imamkan dia. Insya-Allah semoga Allah mudahkan,” katanya.
Terdahulu, Iskandar yang lumpuh akibat menderita pelbagai penyakit kronik, sukar bertutur serta menjalani dialisis akibat komplikasi buah pinggang berhijrah ke kampung isterinya di Miri pada April 2023 untuk lebih dekat dengan keluarga isterinya.
Sementara itu Timbalan Presiden Music Malaysia, Ayob Abdul Majid merakamkan takziah atas pemergian Iskandar yang juga sahabat lamanya.
“Arwah bukan sekadar seorang pemuzik berbakat dan pengasas kumpulan Spring, malah seorang sahabat seperjuangan yang sangat dekat di hati saya.
“Kami pernah bekerja rapat semasa saya bertugas di Sony Music Malaysia, di mana kumpulan Spring berada di bawah jagaan saya ketika itu. Hubungan kami bukan sekadar profesional, malah penuh nilai persahabatan dan saling menghormati.
“Saya turut bersedih kerana mengikuti rapat keadaan kesihatan arwah yang diuji dengan strok dan kegagalan buah pinggang, sebelum berhijrah ke Miri, kampung isteri beliau,” katanya.
Menurutnya, kali terakhir mereka berhubung ialah ketika dia menyampaikan sedikit sumbangan kepada Iskandar.
“Suaranya tetap tenang, sabar dan penuh rasa syukur walaupun dalam ujian yang berat. Arwah juga tidak pernah dilupakan oleh sahabat-sahabat seni.
“Malah kami di Konsortium Irama, bersama PJ Art Lane, Ameng Spring, dan Umarul Iklim pernah menganjurkan program amal khas untuk membantu meringankan beban beliau ketika sedang uzur.
“Program itu bukan sekadar mengumpul dana, tetapi lambang kasih dan setia kawan dalam dunia seni tanah air. Pemergian beliau adalah satu kehilangan besar buat dunia muzik Malaysia,” katanya.
Jenazah Iskandar akan dikebumikan pada pagi ini.
© New Straits Times Press (M) Bhd