Australia pertimbang YouTube dalam larangan media sosial kerajaan

Australia pertimbang YouTube dalam larangan media sosial kerajaan

ANKARA – Pesuruhjaya eKeselamatan Australia, Julie Inman Grant, mengesyorkan agar YouTube dimasukkan dalam senarai larangan media sosial kerajaan bagi golongan muda berusia bawah 16 tahun, lapor Anadolu Ajansi (AA) memetik media tempatan pada Selasa.

Australia dijangka melaksanakan larangan ke atas platform media sosial seperti TikTok, Instagram, Facebook, X dan Snapchat untuk remaja, dengan keputusan muktamad akan dibuat oleh Menteri Komunikasi, menurut penyiar tempatan SBS News.

Pada November tahun lalu, Australia menjadi negara pertama di dunia yang meluluskan undang-undang melarang kanak-kanak daripada menggunakan media sosial.

Undang-undang baharu itu dijangka berkuat kuasa hujung tahun ini dan akan menghalang individu berusia 16 tahun ke bawah daripada menggunakan platform termasuk TikTok, Instagram, Snapchat, Facebook dan X.

YouTube pada awalnya dikecualikan daripada undang-undang itu, namun Grant berkata kerajaan tidak seharusnya mengecualikan mana-mana platform tertentu.

“Kami mencadangkan agar tiada platform dikecualikan kerana tahap risiko dan mudarat boleh berubah pada bila-bila masa,” kata Grant, merujuk kepada ancaman dalam talian yang dihadapi kanak-kanak dan pelaksanaan larangan media sosial untuk remaja yang bakal dikuatkuasakan.

“Saya percaya mana-mana platform yang mendakwa mereka benar-benar selamat sebenarnya hanya bermain dengan kata-kata,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa cadangan tersebut tidak akan menghalang guru daripada memaparkan kandungan pendidikan YouTube tanpa log masuk ke platform berkenaan.

Google, pemilik YouTube, berkata platform itu digunakan di bilik darjah seluruh Australia dan menggesa kerajaan membenarkan golongan muda di Australia untuk terus mengaksesnya.

“YouTube bukan platform media sosial; ia adalah platform penstriman video dengan perpustakaan kandungan percuma berkualiti tinggi dan semakin banyak ditonton melalui skrin TV,” kata jurucakap syarikat itu.

Menurut kajian baharu, tujuh daripada 10 kanak-kanak terdedah kepada kandungan berbahaya – termasuk kandungan berunsur kebencian dan yang menggalakkan pemakanan tidak teratur.

Sementara itu, 36 peratus kanak-kanak mengalami penderaan dalam talian daripada rakan sebaya mereka di platform tersebut, 36 peratus lagi melalui aplikasi pemesejan, dan 26 peratus melalui platform permainan dalam talian, menurut kajian berkenaan. – Bernama-Anadolu

Scroll to Top