mohdsyazwan@hmetro.com.my
Kuala Lumppur: Tiada jalan pintas buat Harimau Malaya.
Perkara itu ditekankan pengendali skuad kebangsaan, Peter Cklamovski yang bertekad membawa barisan terbaik ke kejohanan Piala Negara-Negara Persekutuan Bolasepak Asia Tengah (CAFA) 2025, walaupun ia berlangsung di luar kalendar rasmi Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).
Menurut jurulatih kelahiran Australia itu, cabaran paling besar adalah memastikan pemain utama dapat menyertai skuad kebangsaan memandangkan kejohanan itu dijadual berlangsung pada Ogos dan September iaitu bulan padat dengan aksi Liga Malaysia.
Bagaimanapun, usaha itu tidak mustahil apabila Cklamovski mendedahkan pihaknya sudah berhubung secara rasmi dengan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) bagi mencari jalan terbaik menyelaras jadual dan pelepasan pemain.
“Kami sudah bercakap kepada pihak MFL mengenai aspek jadual perlawanan dan mereka menunjukkan kesediaan untuk bekerjasama.
“Ini penting supaya kita dapat menyediakan pasukan yang benar-benar bersedia,” katanya.
Malaysia dan Oman diundang sebagai pasukan jemputan untuk menyertai kejohanan yang dikelolakan CAFA, menyaksikan mereka berpeluang menentang pasukan elit dari rantau itu.
Skuad Harimau Malaya dijangka akan berdepan dua pasukan yang layak secara merit ke Piala Dunia 2026 iaitu Iran dan Uzbekistan, sekali gus satu pengalaman berharga yang tidak boleh dipersiakan.
Pertemuan dengan pasukan bertaraf dunia itu bakal menjadi medan terbaik buat Cklamovski menilai kekuatan semasa anak buahnya terutama dalam menyesuaikan diri dengan tempo dan tekanan perlawanan antarabangsa sebenar.
Dengan pendekatan taktikal moden yang sedang diterapkan beliau, perlawanan seperti ini penting bagi menilai karakter pemain, membina keserasian pasukan serta memperkukuh asas sebelum kempen kelayakan akan datang.
Jika semuanya berjalan lancar, penyertaan di CAFA bukan saja menjadi pengalaman berharga, malah simbol kepada era baru bola sepak Malaysia yang lebih berani, terancang dan disegani.
© New Straits Times Press (M) Bhd