Disiplin, fokus 'resipi' orkestra MRSM Felda Trolak raih Anugerah Emas di Prague

Disiplin, fokus 'resipi' orkestra MRSM Felda Trolak raih Anugerah Emas di Prague

Ipoh: Disiplin dan fokus menjadi ‘resipi’ pelajar Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Ulul Albab Felda Trolak menewaskan kumpulan orkestra dari enam negara untuk memenangi Anugerah Emas Golden Diploma Award di Festival Antarabangsa Orkestra Tiupan 2025 di Prague, Republik Czech.

Pengetua MRSM Ulul Albab Felda Trolak Zeidi Zakaria berkata 53 pelajar berusia antara 14 hingga 17 tahun yang menganggotai MARESMAF Wind Orkestra (MAWO) itu mempunyai masa terhad untuk berlatih ekoran jadual padat untuk belajar dan aktiviti asrama.

“Mereka hanya berlatih selepas tamat sesi pembelajaran. Sebelum pertandingan, mereka berlatih selepas balik sekolah dan waktu malam dalam tempoh seminggu.

“Selepas tiba di sini (Republik Czech) hanya ada dua hari untuk berlatih, namun mereka sangat fokus,” katanya semasa dihubungi Bernama hari ini.

Zeidi berkata kesibukan berlatih tidak menjejaskan prestasi akademik ahli orkestra itu, dengan 17 daripada ahli MAWO memperoleh purata nilai gred kumulatif (CGPA) 3.75 ke atas.

Mengulas lanjut, beliau berkata kebanyakan ahli MAWO mula didedahkan dengan orkestra dan nota muzik di MRSM itu, memandangkan ada yang berasal daripada keluarga B40 menyebabkan mereka tidak berpeluang bermain alat muzik elit.

“Di negara Eropah, muzik orkestra didedahkan kepada anak-anak mereka sejak kecil.

“Sebelum hari pertandingan, kita ada membuat persembahan di sekolah seni dan mereka memberi diploma kepada pelajar berjaya, dengan paling muda berusia sembilan tahun,” katanya.

Selain itu, Zeidi juga berbangga dengan semangat juang MAWO kerana selaku wakil tunggal Asia pada pertandingan itu, tidak gentar bersaing dalam pertandingan disertai 10 negara Eropah seperti Switzerland, Austria, Hungary, Iceland, Republik Czech, Itali, Latvia, Jerman, Poland dan Croatia.

“Secara peribadi, tentu kita ada perasaan rendah diri pada hari pembukaan (pertandingan)… dari segi fizikal sahaja jauh beza dengan pelajar kita tetapi semangat juang mereka tinggi,” katanya.

Zeidi berkata MRSM Ulul Albab Felda Trolak merupakan satu-satunya MRSM mempunyai kumpulan orkestra, dan pihak sekolah mahu menjadikan perkara itu sebagai kelebihan yang membezakan pelajar mereka daripada maktab atau sekolah lain.

“Saya melihat perbezaan dan keistimewaan kurikulum muzik ini menjadi sebahagian daripada inti pati untuk melahirkan perbezaan pelajar, berbanding sukan dan seni kerana lebih banyak persaingan,” katanya yang berkhidmat sebagai pengetua di situ sejak 2021.

Pada festival dua hari bermula 20 Jun, MAWO memenangi anugerah emas dalam kategori middle class.

Pertandingan itu disertai 13 kumpulan orkestra dari 11 negara dan dibahagikan kepada tiga kategori iaitu lower class, middle class dan higher class, berdasarkan tahap kesukaran karya muzik serta keupayaan teknikal peserta.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top