Fenomen konsert Gen KRU kembali menggegar apabila kumpulan hip hop ikonik 90-an, 4U2C kembali mengubat kerinduan peminat setia selepas hampir 30 tahun menyepi dengan konsert istimewa bertajuk WE 4U2C, yang dijadual berlangsung pada 15 September ini di Idea Live Arena, Petaling Jaya.
Mengangkat tema “Bringin’ Back Da 90’s Flava”, konsert anjuran Juss Event itu bakal menjadi medan untuk para peminat mengimbau zaman kegemilangan muzik era 90-an bersama tujuh anggota asal kumpulan iaitu, AC Mizal, Aren, Yanz, Rinz, Lanz, Charlie dan Azam.
Menurut Datuk AC Mizal atau nama sebenarnya Mizal Zaini, idea konsert ini sebenarnya dicetuskan oleh isterinya, Datin Emylia Rosnaida, sebelum direalisasikan menerusi kerjasama dengan penganjur Juss Event Sdn Bhd.
“Sudah lama saya impikan konsert ini. Idea asal datang daripada isteri saya dan saya sangat bersyukur apabila Juss Event tampil memberikan tawaran yang tepat pada waktunya.
“Saya dan ahli kumpulan lain berjanji akan memberikan persembahan terbaik sebagai penghargaan kepada para peminat yang hadir,” katanya.
Perkara itu dikongsi Kumpulan 4U2C pada sidang media konsert yang berlangsung di sebuah hotel di Bukit Bintang hari ini.
Manakala, selaku vokalis utama kumpulan ini, AC turut mengakui kejayaan konsert KRU pada Mei lalu menjadi pencetus semangat untuk mereka kembali semula ke pentas demi peminat.
“Kami berterima kasih kepada KRU kerana membuka jalan untuk kumpulan era 90-an kembali membuat persembahan berskala besar. Kini, giliran kami pula berkongsi kenangan manis bersama peminat dan keluarga,” jelasnya.
Lebih menarik, konsert ini turut menjadi titik permulaan kepada usaha 4U2C untuk kembali aktif dalam industri seni tanah air.
“Kami mahu menjadi pelopor dengan menghidupkan semula kegemilangan dahulu.
“Dulu kami tampil berani dengan gaya menyanyi sambil menari dan untuk konsert ini, kami akan terus kekalkan elemen itu.
“Kami percaya artis Malaysia juga punya kualiti tersendiri dan mampu menghibur secara menyeluruh, bukan sekadar menyanyi sahaja,” ulasnya.
Menambah nilai kepada produksi, konsert WE 4U2C bakal diketuai oleh komposer tersohor, Aubrey Suwito selaku pengarah muzik, dengan sokongan 14 pemuzik profesional yang berpengalaman luas dalam industri.
Sebagai kejutan buat peminat, 4U2C juga akan mempersembahkan tiga single baharu yang akan di pentaskan buat pertama kali pada malam konsert.
Sekadar info, tiket konsert dijual bermula 30 Jun ini menerusi platform Ticket Empire dan Fantopia, dengan harga bermula RM155 hingga RM555.