
Peluru berpandu Iran disasarkan ke arah Pangkalan Tentera Udara Al-Udeid. Foto AFP
KUALA LUMPUR – Bunyi dentuman dan gegaran mengejutkan orang ramai yang sedang bersantai pada awal malam di sekitar ibu negara Qatar, apabila peluru berpandu Iran disasarkan ke arah Pangkalan Tentera Udara Al-Udeid.
Tiada siapa menyedari pada awalnya bahawa peluru berpandu sedang melintasi ruang udara Doha, menyebabkan situasi panik dalam kalangan penduduk.
Warga Malaysia, Muhammad Farhan Rajuli, yang berkhidmat sebagai penganalisis dron dan sistem maklumat geografi (GIS) di sebuah syarikat berpangkalan di Doha, berkongsi detik cemas kejadian berkenaan kepada Astro Awani.
“Keadaan itu sangat mengejutkan kerana saya percaya masing-masing pertama kali melihat peluru berpandu ‘terbang’ di atas kepala.
“Selepas berlaku serangan, kita dapat lihat lalu lintas menjadi sangat sesak, orang ramai keluar membeli barangan keperluan, melakukan pembelian panik khususnya,” katanya.
Tambah beliau, ada juga yang kekal di lobi bangunan bersedia untuk melarikan diri jika keadaan semakin buruk, dan ramai kanak-kanak serta bayi dilihat menangis selepas dentuman berlaku.
Kejadian itu dilaporkan berlaku sekitar jam 8 malam waktu tempatan.
Farhan bagaimanapun menarik nafas lega kerana serangan berkenaan tidak mengorbankan nyawa orang awam.
Beliau turut memuji tindakan pantas dan teratur pihak berkuasa Qatar dalam mengawal keadaan.
“Pihak berkuasa Qatar sangat efektif dan efisien serta berjaya menenangkan orang ramai selepas serangan,” katanya.
Beliau juga menyatakan bahawa beliau tidak berhasrat meninggalkan negara itu buat masa ini dan masih percaya terhadap keupayaan pihak berkuasa Qatar dalam mengekalkan keselamatan.
“Buat masa ini, saya ingin terus menunaikan tanggungjawab dan bekerja di sini kerana saya percayakan pihak berkuasa mampu untuk mengekalkan keamanan setempat,” tambahnya.
Qatar pada Isnin mengecam keras tindakan Iran melancarkan serangan peluru berpandu ke atas pangkalan tentera yang terletak di wilayahnya, dan menyifatkan tindakan tersebut sebagai satu pencabulan nyata terhadap kedaulatan dan ruang udara negara itu.
Serangan Iran tersebut dipercayai sebagai tindak balas terhadap serangan udara oleh Amerika Syarikat ke atas beberapa tapak nuklear di Iran hujung minggu lalu. – Awani