hafidzul@hmetro.com.my
Sungai Buloh: Polis menumpaskan sindiket pengedaran dadah jenis ganja dengan penahanan tiga lelaki di Sungai Buloh dan Bukit Beruntung, Khamis lalu.
Ketua Polis Daerah Sungai Buloh Superintendan Mohd Hafiz Muhammad Nor berkata, suspek berusia 28 hingga 42 tahun itu aktif melakukan kegiatan berkenaan di kawasan Sungai Buloh dan Hulu Selangor.
“Seorang daripada lelaki itu ditahan di Kampung Baru Subang, Sungai Buloh dan hasil soal siasat terhadapnya, polis menahan dua lagi lelaki di Bukit Beruntung.
“Nilai keseluruhan rampasan dadah itu dianggarkan antara RM30,000 hingga RM40,000 di pasaran,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, modus operandi rangkaian itu ialah dengan membuat pesanan ganja daripada negara jiran yang akan dihantar melalui syarikat kurier tempatan sebelum dipasarkan di kawasan Lembah Klang.
“Polis merampas ganja seberat kira-kira satu kilogram, 40.93 gram heroin, pil yaba (57.56 gram), pil ekstasi (3.32 gram) dan syabu (0.82 gram).
“Ketiga-tiga lelaki itu direman lima hingga tujuh hari bermula 20 hingga 26 Jun ini bagi siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd