am@hmetro.com.my
Georgetown: Dua tahun lalu Saiful Hisyam Hasbullahyamin, 20, kesal kerana menolak tawaran melanjutkan pelajaran ke universiti dan memilih untuk memasuki tingkatan enam.
Namun, hari ini kekesalan pemuda itu berjaya ditebus selepas meraih keputusan Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 4.0 dengan 5A dalam Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2024.
Bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (Lelaki) Al-Mashoor itu berkata, dia yang memperoleh 8A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) menerima tawaran peringkat diploma dalam bidang perakaunan di sebuah universiti tempatan di Perak.
Namun, katanya, ramai rakannya berpendapat menduduki tingkatan enam adalah ‘jalan singkat’ bagi melanjutkan pengajian ke peringkat Ijazah Sarjana Muda.
“Jadi, saya tolak tawaran itu dengan perasaan berbelah bagi.
“Pada mulanya timbul rasa menyesal, tetapi saya yakin tindakan itu tepat dan membuktikan keputusan ini berbaloi.
“Ternyata belajar di tingkatan enam juga setanding di universiti,” katanya yang turut dikenali sebagai ‘budak rambut belah tengah’ dalam kalangan rakan ketika ditemui, hari ini.
Katanya, dia tiada rahsia khusus ketika belajar, cuma beri tumpuan semasa di kelas selain elak makan makanan segera yang boleh mengganggu kesihatan.
Saiful Hisyam berkata, kejayaannya itu membuktikan pelajar tingkatan enam turut mempunyai kualiti bagi melangkah ke universiti dan kebolehpasaran kerja.
“Saya merancang menyambung pengajian di Universiti Malaysia (UM) dalam pengajian Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Muamalat kerana meminati bidang perbankan,” kata anak kepada kakitangan swasta dan guru itu lagi.
Bagi Ku Saifuddin Ku Anuar, 20, yang turut memperoleh keputusan PNGK 4.0 dengan 4A berkata, dia lebih gemar mengulangkaji pelajaran sebelum masuk waktu Subuh serta menjadikan selawat ke atas Nabi SAW sebagai ‘makanan rohani’.
“Saya sudah jalani temuduga sebagai guru baru-baru ini dan sedang menanti keputusan Julai depan.
“Saya mahu melanjutkan pelajaran ke Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI) bagi mencapai impian sebagai guru,” katanya.
Dua bekas pelajar itu antara 15 yang diraikan dalam satu majlis pengumuman keputusan STPM di SMKA (Lelaki) Al-Mashoor, Air Itam, di sini, yang mana masing-masing turut menerima RM1,000 sebagai dorongan bagi menyambung pengajian.
© New Straits Times Press (M) Bhd