24 Jun 2025 10:48pm
Masa membaca: 4 minit

Perdana Menteri Qatar, Mohammed bin Abdulrahman Al-Thani. Foto AFP
DOHA – Qatar pada Selasa menyambut baik perjanjian gencatan senjata antara Iran dan Israel, lapor Agensi Berita Qatar (QNA).
Menurut Kementerian Luar Qatar, pihaknya menyatakan harapan agar perjanjian itu menjadi satu langkah bermakna ke arah penyelesaian konflik di rantau berkenaan dan di peringkat global melalui dialog serta diplomasi, sambil menekankan kepentingan menggunakan kaedah damai untuk mencapai kestabilan yang berkekalan serta keamanan yang menyeluruh dan mampan.
Pada masa sama, kementerian itu turut menegaskan bahawa pelanggaran kedaulatan dan ruang udara Qatar oleh Iran merupakan sebahagian daripada peningkatan ketegangan berbahaya di rantau tersebut, yang memerlukan usaha ikhlas dan kolektif bagi menghalang semua tindakan yang tidak bertanggungjawab.
Kementerian itu juga menegaskan bahawa Qatar akan terus berfungsi sebagai penggerak kepada keamanan. Komitmen negara itu terhadap keamanan adalah berasaskan prinsip dan tidak dipengaruhi oleh peristiwa tertentu atau pertimbangan politik yang berubah-ubah.
Qatar kekal berpegang kepada nilai kejiranan baik dan menyokong sepenuhnya semua usaha ikhlas dalam menyelesaikan krisis serta membina dunia yang lebih selamat, bekerjasama dan makmur.
Kementerian itu turut merakamkan penghargaan ikhlas Qatar kepada Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump atas peranannya dalam memudahkan perjanjian berkenaan dan menyatakan harapan agar kedua-dua pihak mematuhi sepenuhnya syarat-syarat yang telah dipersetujui. – Bernama-QNA