syafil.syazwan@hmetro.com.my
Ada jenis kehilangan tidak dapat diungkap sepenuhnya dengan kata-kata. Ia terlalu besar untuk dirangkum dalam kalimat, terlalu dalam untuk diubati dengan masa.
Kehilangan itu menjadi sunyi yang tidak bersuara dan itulah yang saya rasakan apabila mendengar berita pemergian Penolong Pengarang Berita Hiburan Berita Harian, Allahyarham Raja Nurfatimah Mawar atau lebih mesra kami panggil Kak Raja pada Ahad lalu.
Saya terdiam lama. Nama Kak Raja bukan asing bagi sesiapa yang pernah bergelumang dalam dunia kewartawanan hiburan.
Bahkan sebelum saya menjejak kaki ke Harian Metro pada 2015, ketika saya masih wartawan majalah Media Hiburan, saya sudah mendengar mengenainya.
Cerita-cerita yang sampai ke telinga saya ketika itu membentuk imej seorang wartawan senior yang tajam pena dan tajam lidahnya.
Seorang yang tidak takut bersuara, tidak takut menegur, dan cukup berani mengkritik sesiapa sahaja yang menurutnya tidak bersungguh dalam berkarya. Jujur saya katakan, saya gentar.
Namun segalanya berubah apabila saya mengenalinya secara peribadi selepas bekerja di bawah bumbung yang sama di New Straits Times Press (M) Berhad (NSTP).
Rupa-rupanya, di sebalik ketegasan dan reputasi penulisannya yang garang, tersimpan hati seorang kakak yang penyayang, yang penuh empati, dan yang tahu bila perlu memimpin, bila perlu memeluk.
Dia ibarat kakak sulung dalam keluarga besar yang tak pernah jemu membimbing, menyindir bila perlu, dan membelanja makanan tanpa pernah berkira.
Saya masih ingat zaman sebelum Skim Pemisahan Sukarela (VSS), ketika kami masih lengkap dan meriah. Waktu makan tengah hari menjadi rutin yang kami tunggu.
Kami turun beramai-ramai, ketawa, bergurau dan kadang-kadang berdebat isu hiburan dengan penuh semangat. Kak Raja sentiasa ada di tengah-tengah kami.
Kalau dia ajak makan, jangan harap nak keluarkan duit. “Kau duduk je. Akak belanja,” katanya sambil ketawa kecil.
Itulah kasih sayang cara Kak Raja yang tak ditunjuk melalui kata-kata manis, tapi melalui tindakan yang konsisten.
Antara kenangan paling manis yang saya simpan adalah percutian ke Langkawi sempena Hari Keluarga Persatuan Wartawan Hiburan Malaysia (WHAM).
Waktu itu saya jadi tukang angkat barang Kak Raja. Barang banyak, Kak Raja pun banyak ‘memborong’ daripada kain sampai periuk belanga, tapi saya ikhlas.
Namun seperti mana-mana hubungan dalam persahabatan, perjalanan kami tidak sunyi daripada pasang surut. Ada masa, saya dan Kak Raja pernah bertengkar. Pernah bermasam muka.
Pernah ‘berbalas kata’ apabila pendapat kami tidak sehaluan, atau mungkin bila emosi mengatasi rasional. Tapi begitulah hubungan yang jujur, bukan sentiasa manis.
Yang indahnya, selepas setiap pertelingkahan itu, kami tetap kembali berbaik. Kadangkala ia bermula dengan senyuman kecil atau sekadar soalan biasa, ‘Afil dah makan ke?’.
Itulah cara Kak Raja, keras di luar, tapi lembut dalam. Dia tahu, hubungan ikhlas tak harus dibiarkan retak lama-lama.
Daripada sudut kerja, Kak Raja sangat teliti. Kerap juga saya merujuknya dan minta dia berkongsi pendapat mengenai penulisan.
Tapi tegurannya bukan untuk menjatuhkan, sebaliknya untuk mengangkat kami agar jadi lebih baik. Dia mahu kami menulis dengan tanggungjawab.
Penulisannya bukan untuk sensasi. Ia ditulis dari tempat yang jujur, yang tidak tunduk kepada tekanan populariti.
Kerana itulah selebriti tanah air menghormatinya, walaupun pernah dikritik olehnya.
Ahad lalu, apabila berita pemergiannya sampai ke pengetahuan saya, saya buntu. Saya tidak tahu mahu percaya atau tidak.
Saya hubungi Farihad Shalla Mahmud, atau lebih dikenali sebagai Abang Bobo untuk pengesahan. Dan apabila dia sahkan, hati saya runtuh dan berharap berita itu tidak benar.
Bekas wartawan Harian Metro, Sudirman Mohd Tahir (Abang Sudyr), yang ketika itu sepatutnya ke Alor Setar, terus batalkan perjalanan. Saya ke KLIA ambil Abang Sudyr dan terus ke kediaman Kak Raja.
Sampai di sana, saya lihat jasad Kak Raja terbujur kaku, diselimuti kain putih, dikelilingi wajah yang saya kenal, rakan sepejabat, sahabat seindustri dan keluarga.
Saya tidak dapat menahan air mata. Rasa kosong menyergap seluruh tubuh. Kak Raja yang selalu gelak bila saya usik, yang suka belanja makan, yang pernah marah dan pernah pujuk saya kini tiada.
Pemergian Kak Raja bukan sekadar kehilangan seorang penulis hebat. Ia kehilangan suara jujur dalam dunia kewartawanan hiburan. Ia kehilangan kakak, teman, dan guru kepada ramai antara kami.
Penulis wartawan hiburan Harian Metro
© New Straits Times Press (M) Bhd