Ostrava, Republik Czech: Pelari pecut remaja sensasi Australia, Gout Gout terus mencuri tumpuan apabila memenangi acara 200 meter (m) dengan penuh bergaya pada penampilan sulungnya di kejohanan Golden Spike dekat bandar Ostrava, Republik Czech, awal pagi tadi.
Atlet berusia 17 tahun itu bukan sekadar menewaskan lawan lebih berpengalaman, malah turut memperbaharui rekod kebangsaan miliknya sendiri dengan catatan 20.02 saat (s).
Lebih manis, kemenangan itu hadir pada kejohanan Jelajah Emas Siri Jelajah Benua Dunia Kesatuan Olahraga Dunia (WA) yang berlangsung di Republik Czech, sekali gus mengukuhkan statusnya sebagai bintang masa depan olahraga Australia.
Gout menamatkan perlumbaan dengan kelebihan 0.17s mengatasi pencabar dari Cuba, Reynier Mena, manakala atlet Britain, Nethaneel Mitchell-Blake, sekadar di tempat ketiga dengan masa 20.60s.
“Saya rasa sangat baik. Catatan terbaik peribadi dan rekod kebangsaan baharu, semuanya dalam perlumbaan pertama saya di Eropah.
“Saya tak rasa tertekan langsung. Sebab bila saja saya jejak kaki di trek, hanya tinggal saya dan apa yang saya perlu lakukan ialah perkara yang paling saya suka, iaitu berlari.
“Saya akan terus berlumba dan tiada apa boleh halang saya. Bila sudah cukup banyak perlumbaan, saya yakin boleh pecahkan halangan 20s itu,” kata Gout kepada media selepas perlumbaan.
Nama Gout mula menjadi bualan hujung tahun lalu selepas memadam rekod 56 tahun milik legenda Australia, Peter Norman, apabila mencatat 20.04s.
Pada Kejohanan di Perth, Australia, April lalu, Gout sekali lagi mengejutkan ramai apabila merekodkan 19.84s untuk 200m dan 9.99s bagi 100m, namun kedua-dua catatan itu tidak diiktiraf kerana dibantu angin kencang.
Bagaimanapun, prestasi cemerlangnya sudah cukup untuk melayakkan Gout menyertai skuad kebangsaan Australia ke Kejohanan Dunia di Tokyo yang dijadual berlangsung September ini.
© New Straits Times Press (M) Bhd



